Wednesday, July 31, 2013

Diari Seorang Siapa (?) : #5 - 1

Aku macam nak perlahan sikit suara. Masuk hujung bulan puasa, macam banyak benda buat aku sentap.


Macamana nak cerita?


Mula-mula kau kena bayangkan, aku adalah seorang lelaki dewasa umur 21 tahun. Badan kurus melidi tetapi mempunyai bahu yang bidang. Badan macam ni, sesuai untuk panjat gunung dan masuk gua. Malah, itulah kerja sambilan aku pun. Meneroka gua yang tidak pernah diteroka. Tujuan untuk menandakan koordinat dalam GPS dan log gua-gua yang ada di seluruh Malaysia.


Hebatkan?


Kerja untuk merekodkan khazanah alam yang ada kat bumi kita ni. Tapi aku tak pernah rasa kerja sampingan ni perlu dibesarkan pun (kerja sepenuh masa aku: belajar). Tinggal lagi, akhir-akhir ni aku diberi peluang untuk bertemu dengan seorang guru, perempuan, yang entah? Hairan aku, sebab beliau ini menyimpan begitu banyak ilmu tidak sama macam perempuan-perempuan lain. Aku namakan dia CJ7.


Dia manusia, serius, bukan alien. CJ7 matang bukan kiut macam makhluk dalam filem CJ7 tu.


Dia yang ajar aku, sebenarnya umur manusia ni terbahagi kepada dua. Kanak-kanak dan orang dewasa. Remaja tidak ada tercatat dalam Al Quran, tetapi yang ada kata CJ7 adalah fityan, atau orang muda. Orang muda macam aku kot layak dipanggil fityan.


Aku tanya CJ7, "contoh perkataan fityan ni kat mana dalam Quran?"


CJ7 jawab, "dalam Surah Gua - Surah Al Kahfi, ayat ke 10."


Terkezut aku bila CJ7 sebut gua. Takkan begitu kebetulan dengan minat aku dengan gua.


"Tahu cerita pemuda gua atau Ashabul Kahfi?"


Aku angguk-angguk tidak yakin. Aku tahu cerita tu, tapi aku tak berani nak angguk dengan pasti. Aku rasa aku sudah dewasa, tapi rendah diri masih lagi menebal. Haish, aku kurang pengalaman dan pergaulan sebenarnya.


"Dalam ayat tu sebut orang muda macam awak sebagai fityan. Peringkat umur emas eh bukan, umur berlian, yang boleh cipta sejarah bangsa, negara, malah agama. Macam pemuda-pemuda gua."


Begitu bicara CJ7 kalau aku dapat peluang sembang dengan dia. Ruang pejabat itu kecil, tapi luas dengan bicara ilmu. Aku suka berada dalamnya, bukan sebab semata-mata ada aircond, tetapi sebab CJ7 bukan tipikal perempuan yang suka shopping atau menonton drama TV atau drama Korea. Kau akan berpeluang untuk mengutip mutiara ilmu walau hanya 10 minit jumpa dengan CJ7.


Malah CJ7 selalu cakap aku manusia dengan kemahiran istimewa. Manusia gua, pencari khazanah, dan menyimpan rekod sejarah alam semulajadi negara. Bukan calang-calang orang diberi kelebihan seperti itu, kata CJ7. CJ7 selalu memandang positif sesuatu perkara, walau aku tak rasa benda yang aku buat hebat pun.


Semalam, aku dapat cakap dengan CJ7. Aku bercadang buat sayembara menulis cerpen dan puisi berskala kecil di tempat aku. CJ7 adalah penasihat kelab, jadi aku minta nasihat darinya.


CJ7 tanya, "kenapa awak nak menulis?"


"Bukan saya. Sebenarnya ada orang tanya bila nak mulakan pertandingan, sebab dulu saya ada tersebut dalam meeting." Jawab aku masih takut-takut.


"Awak sendiri tidak mahu menulis?"


Aku diam. Tapi kemudian mengangguk. Aku juga mahu menulis. Tapi aku tidak pasti.


"Awak tahu apa Pram kata pasal orang yang menulis?" CJ7 buka buku catatan kemudian membaca,


“Tahu kau mengapa aku sayangi kau lebih dari siapa pun? Karena kau menulis. Suaramu takkan padam ditelan angin, akan abadi, sampai jauh, jauh di kemudian hari."


Sangka aku CJ7 nak cakap pasal surah Iqra'. Alih-alih dia bawa kata-kata Pramoedya Ananta Toer, seorang penulis tersohor Indonesia. Pernah dicalonkan dalam Anugerah Nobel, tetapi tak pernah menang.


"Kalau awak nak jadi immortal, menulislah."


Meremang tengkuk aku. Tak pernah orang beri pesan kesan menulis sebegitu besar.


CJ7 angkat buku di hadapannya. Tajuk buku tu, 'Kami Ada Mimpi'. Kisah-kisah benar dan adaptasi cerita sukarelawan aktivis pendidikan.


"Kawan-kawan awak ada menulis dalam ini. Mereka baru berumur dalam lingkungan 19 - 28 tahun, muda lagi. Saya nasihat kepada mereka, tulis sejarah sendiri. Jangan biar orang lain menulis untuk kita, selagi kita mampu menulis."


Aku diam. Selalu depan CJ7 aku hilang kata-kata. Kalau boleh aku nak jadi span (sponge) menyerap semuanya. Setiap satu pun bermakna. Setiap satu pun ilmu. Setiap satu pun beri aku nyala dalam dada. Aku orang muda yang perlu membuat perubahan. Mula dari diri aku sendiri, kemudian kepada orang lain sekitar aku.


CJ7 tiba-tiba senyap. Kemudian mengambil nafas. Matanya tadi bercahaya, bertukar jadi sayu.


"Hujung minggu baru ni, saya jumpa kawan-kawan lain di luar. Banyak yang mereka kongsikan. Kisah masyarakat yang sudah lama kita tak ambil peduli. Banyak cerita sebenarnya. Tetapi yang paling menusuk dalam dada saya, bila kawan saya cerita, ada anak yatim bercerita tentang keluarga. Seorang anak ini kemudian beri komen mengenai ibu dia. Awak tahu apa yang adik tu cakap?"


CJ7 mahu mengaktifkan indera aku. Untuk fokus kepada ayat seterusnya.


"Walaupun mak saya buta, tapi, ayam masak merah mak saya paling sedap dalam dunia."


Mata CJ7 bergenang. CJ7 melarikan pandang ke tempat lain. Mungkin dia malu untuk tunjukkan ekspresi sebenar depan aku.


Aku sendiri terkedu. Kepala aku fikir macam-macam. Dengan ayat macam tu, apa sebenarnya kehidupan yang adik tu lalui. Aku tak tahu, aku pasti CJ7 pun tak tahu.


CJ7 memandang pen aku yang terletak di atas buku catatan yang terbuka. Banyak muka surat yang kosong tidak bertulis. Aku memang agak malas menulis. Tapi CJ7 tidak. Kata-kata aku yang dirasakan penting pun dicatatnya. Bicara orang muda seperti aku, tetap ada nilai di hujung pena CJ7.


CJ7 membuka mulut, "tulislah untuk orang-orang yang tidak boleh menulis seperti adik yang emaknya buta. Tulis bagi pihak mereka. Jadi suara mereka dengan pen awak tu. Itu baru namanya kita berjuang menggunakan pen dan dakwat. Bawa suara mereka ke jabatan kebajikan dan institusi zakat. Supaya mereka dibela sebagai seorang manusia yang punya harga diri."


Ada sesuatu masuk dalam diri aku. Serentak dengan itu, bulu roma aku tegak berdiri.


Menulis juga boleh jadi suara. Di zaman moden penuh cerita Korea dan drama TV lakonan Aaron Aziz, Adi Putra, Tiz Zaqyah, aku menerima bicara di alam realiti yang seperti dalam TV.


Bicara CJ7 seolah-olah skrip drama, tetapi yang membezakan, ia depan mata aku. Telinga aku cukup sihat untuk mendengar dalam keadaan sedar. Realiti masyarakat yang CJ7 hadapi setiap hari kerana CJ7 memutuskan untuk berada di atas padang untuk sendiri menyaksi depan mata.


"Saya bukan menjaja cerita nak jentik simpati awak atau sesiapa saja. Saya cuma mahu mengingatkan tentang tanggungjawab saya, dan tanggungjawab semua orang yang mengaku muslim."


Aku minta CJ7 terangkan lebih lagi kerana aku tidak faham.


CJ7 membetulkan duduk. Mengalih pandang ke skrin komputer di sisi kiri. CJ7 menggerakkan tetikus dan mencari ikon shutdown di tetingkap. Aku kira bulan Ramadhan lebih membuatkan CJ7 lebih kritis, lebih banyak turun padang, lebih banyak menimba ilmu, dan lebih banyak buat benda berbanding bulan biasa. Puasa tidak melemahkan CJ7, malah memberikan dia lebih kuasa.


"Baca surah Al Maaun. Di situ ada peringatan tentang orang yang mendustakan agama. Dan kita takkan nak masuk dalam golongan ni. Kalau kita nak keluar dari celaan, kita mesti menyantuni anak yatim dan miskin. Sebab itu saya kata, kerja-kerja ini tanggungjawab, bukan optional."


Kata-kata CJ7 buat aku terus berfikir. Aku masih belum dapat berbincang secara rinci mengenai rancangan sayembara. Tapi aku sudah temui setiap sebab kenapa aku juga perlu menulis.


Antara sebab pertama mahu menjadi abadi, atau kedua sebagai tanggungjawab sosial. Aku pilih aku nak menulis atas dasar tanggungjawab. Kalau ini kelebihan yang aku ada, aku patut salurkan ke tempat lebih baik. Lebih bermanfaat pada orang lain. Tapi aku bukan pandai sangat.


"Saya tidak pandai sangat menulis ni," aku tidak malu berceritakan kekurangan diri.


"Bila awak akan pandai menulis? Esok, minggu depan, bulan depan, tahun depan, atau 10 tahun lagi?" CJ7 bertanya serius. Bila dia memprovokasi, aku jadi gerun.


"Jawab tanya saya." CJ7 mengeraskan lagi tona suaranya.


"Perlukan saya jawab secara spesifik?" Aku tanya polos.


"Perlu, sebab saya nak dengar komitmen dari awak. Kalau awak kata 2 tahun dari sekarang awak akan pandai menulis, saya akan cari awak balik selepas 2 tahun dan menuntut apa yang awak janjikan."


Psiko betul CJ7 ni kadang-kadang.

"Tapi tahu apa yang awak akan tertinggal? 2 tahun awak akan rugi untuk menabur bakti sebagai seorang pejuang yang menulis. 2 tahun!"

No comments: