#4
Aku pun tak tahu kenapa aku menulis di sini. Mungkin ini tempat alter ego yang menyebabkan aku tidak perlu menjaga apa-apa. Terutama bentuk tulisan, apatah lagi imej. Eh, aku ada imej ke? Sedangkan jantina aku pun kau tak berapa pasti, macamana kau boleh bayangkan aku ni macamana.
Tapi aku rasa, aku mula mengenal siapa aku. Aku adalah suara yang dijelmakan dalam bentuk tulisan. Suara ini ialah suara menyanggah. Walaupun aku bukannya baik, atau sebenarnya warna yang aku ada adalah kelabu.
Sekejap, aku ingin bertanya “apa kata kau kalau kita menampakkan dosa silam kita pada orang lain?”
Selalu ada orang kata, "Tuhan sendiri dah menyorokkan aib kau, kenapa kau nak menampakkan aib sendiri pada orang lain."
Ini yang berlaku pada aku.
Aku yang sedemikian kelabu ini, sejak akhir-akhir ini ramai betul orang datang mengadu. Membuka cerita-cerita lama mereka dan minta aku beri pendapat. Aku katakan pada mereka, "I'm no Ustaz atau Ustazah," tapi mereka seolah tidak kisah. Kata mereka, "kalau kami cuba pun mengadu kepada Ustaz Ustazah, mereka tidak akan layan. Samada mereka terlalu sibuk dengan urusan ceramah sana sini, atau mereka mendengar cerita kami dan terus menghukum. Lebih teruk dari itu memandang kami dengan lirikkan, 'engkau ini pendosa.' Begitulah."
Hhhmmm. Agaknya sebab itu mereka pilih aku. Sebab aku sama macam mereka kelabu? Dan aku bertanya pada mereka, “korang tidak kisah aku tahu semuanya tentang kamu?”
Apa jawab mereka? “Awak ada sepasang mata yang memandang manusia lainnya dengan nilai kemanusian. Suara awak walau selalu lantang, menegur dengan tegas dan tepat, tetapi awak istimewa. Awak tidak seperti ahli agama yang lainnya.”
Tentu aku nak tahu apa yang mereka nampak dalam diri aku yang tidak berjenis, tidak berimej dan berwarna kelabu. Jawab dia, “awak, awak tidak menghukum.”
Wah, entah apa aku perlu rasa dengan komen sebegitu. Aku cuma hairan, mereka yang berada dalam jalan agama itu, benarkah mereka itu gemar menghukum semuanya. Aku tertanya tidakkah mereka pernah berbuat dosa? Maksum semuanya? Sebab itu melayakkan mereka memandang sebelah mata?
Jangan marah, aku tahu banyak benda yang kau nak marahkan aku. Tetapi lebih baik kau cakap baik-baik, dalam suasana hikmah, supaya kita berbicara, bersetuju atau tidak bersetuju dalam dialog yang harmoni. Aku cakap pun sebab aku sayang pegangan yang aku ada. Suara lantang pada kebenaran tidak mengapa, jangan tidak ada suara langsung bila kita nampak benda tidak kena. Tetapi di sebalik itu, aku berpendapat kau mesti ada suara kemanusian. Suara kemanusiaan kau mesti lebih lantang, kerana itu suara sejagat.
Sebelum aku lebih rancu dan rancau, aku petik puisi Usman Awang untuk dikalungkan di jiwa kau yang asalnya murni dan suci. Tajuknya Kemanusiaan.
Jika kita menyesali kematian atas seorang
dan hati tidak berdenyut untuk kematian yang lain
maka kemanusiaan tidak ujud di mahkota kebenaran
sebab bukanlah kemanusiaan bila ia ada perbatasan.
OK lah, ini yang apa aku rasakan kenapa nak menulis kat sini. Mungkin banyak isu semasa yang menyangkut perkara penting atau tidak penting. Entahlah? Kadang-kadang aku jadi keliru. Kenapa pilih isu-isu yang aku bebelkan di sini, sebab cerita ini semua adalah fenomena di media baru, iaitu Facebook. Aku tulis mungkin sebab aku nak beri tanda apa yang berlaku pada zaman aku hari ini. Walaupun dua tiga hari nanti sudah tidak relevan, tidak mengapalah. Ia sensasi hari ini, mungkin ada nilai pelajaran.
Dalam masa Ramadhan ni tahun 1434 Hijrah (2013), banyak betul perkara tegang berlaku yang boleh huru-harakan Malaysia negara berbilang bangsa ni.
Kes Pertama
Kes Alvivi, bila mana mereka memaparkan gambar di FB kemudian mengucapkan selamat berbuka dengan Bah Kut Teh. Kau rasa macamana?
Kes Kedua
Isu sekolah yang membenarkan anak murid bukan Islam makan di bilik persalinan masa bulan puasa. Ramai komen perkara tersebut diskriminasi. Sebab merendahkan martabat orang bukan Islam hanya semata mereka tidak berpuasa.
Pecah kecoh warga netizen semuanya. Eh kau tahu ke istilah netizen tu? Internet Citizen (warga internet), dengan maksud mereka yang hidup dalam internet. Hairan bunyinya kan. Aku pun masuk dalam golongan ini juga rasanya.
Apa maksudnya? Orang yang tidak ada internet sebenarnya tidak terkesan pun dengan dua isu tersebut. Isu Alvivi atau isu Makan di Bilik Persalinan. Sedang ada isu lebih besar macam TPPA dan sidang parlimen. Errmm, tapi yang last tu memang aku kurang tahu. Jadinya memang dua isu ini berjaya menutup perkara lebih besar yang patut dibincangkan oleh warga netizen seperti kau dan aku.
Kau rasa macamana? Aku rasa aku nak biar kes Alvivi dan Sekolah tu. Malas aku nak ulas.
No comments:
Post a Comment