Wednesday, July 31, 2013

Diari Seorang Siapa (?) : #5 - 1

Aku macam nak perlahan sikit suara. Masuk hujung bulan puasa, macam banyak benda buat aku sentap.


Macamana nak cerita?


Mula-mula kau kena bayangkan, aku adalah seorang lelaki dewasa umur 21 tahun. Badan kurus melidi tetapi mempunyai bahu yang bidang. Badan macam ni, sesuai untuk panjat gunung dan masuk gua. Malah, itulah kerja sambilan aku pun. Meneroka gua yang tidak pernah diteroka. Tujuan untuk menandakan koordinat dalam GPS dan log gua-gua yang ada di seluruh Malaysia.


Hebatkan?


Kerja untuk merekodkan khazanah alam yang ada kat bumi kita ni. Tapi aku tak pernah rasa kerja sampingan ni perlu dibesarkan pun (kerja sepenuh masa aku: belajar). Tinggal lagi, akhir-akhir ni aku diberi peluang untuk bertemu dengan seorang guru, perempuan, yang entah? Hairan aku, sebab beliau ini menyimpan begitu banyak ilmu tidak sama macam perempuan-perempuan lain. Aku namakan dia CJ7.


Dia manusia, serius, bukan alien. CJ7 matang bukan kiut macam makhluk dalam filem CJ7 tu.


Dia yang ajar aku, sebenarnya umur manusia ni terbahagi kepada dua. Kanak-kanak dan orang dewasa. Remaja tidak ada tercatat dalam Al Quran, tetapi yang ada kata CJ7 adalah fityan, atau orang muda. Orang muda macam aku kot layak dipanggil fityan.


Aku tanya CJ7, "contoh perkataan fityan ni kat mana dalam Quran?"


CJ7 jawab, "dalam Surah Gua - Surah Al Kahfi, ayat ke 10."


Terkezut aku bila CJ7 sebut gua. Takkan begitu kebetulan dengan minat aku dengan gua.


"Tahu cerita pemuda gua atau Ashabul Kahfi?"


Aku angguk-angguk tidak yakin. Aku tahu cerita tu, tapi aku tak berani nak angguk dengan pasti. Aku rasa aku sudah dewasa, tapi rendah diri masih lagi menebal. Haish, aku kurang pengalaman dan pergaulan sebenarnya.


"Dalam ayat tu sebut orang muda macam awak sebagai fityan. Peringkat umur emas eh bukan, umur berlian, yang boleh cipta sejarah bangsa, negara, malah agama. Macam pemuda-pemuda gua."


Begitu bicara CJ7 kalau aku dapat peluang sembang dengan dia. Ruang pejabat itu kecil, tapi luas dengan bicara ilmu. Aku suka berada dalamnya, bukan sebab semata-mata ada aircond, tetapi sebab CJ7 bukan tipikal perempuan yang suka shopping atau menonton drama TV atau drama Korea. Kau akan berpeluang untuk mengutip mutiara ilmu walau hanya 10 minit jumpa dengan CJ7.


Malah CJ7 selalu cakap aku manusia dengan kemahiran istimewa. Manusia gua, pencari khazanah, dan menyimpan rekod sejarah alam semulajadi negara. Bukan calang-calang orang diberi kelebihan seperti itu, kata CJ7. CJ7 selalu memandang positif sesuatu perkara, walau aku tak rasa benda yang aku buat hebat pun.


Semalam, aku dapat cakap dengan CJ7. Aku bercadang buat sayembara menulis cerpen dan puisi berskala kecil di tempat aku. CJ7 adalah penasihat kelab, jadi aku minta nasihat darinya.


CJ7 tanya, "kenapa awak nak menulis?"


"Bukan saya. Sebenarnya ada orang tanya bila nak mulakan pertandingan, sebab dulu saya ada tersebut dalam meeting." Jawab aku masih takut-takut.


"Awak sendiri tidak mahu menulis?"


Aku diam. Tapi kemudian mengangguk. Aku juga mahu menulis. Tapi aku tidak pasti.


"Awak tahu apa Pram kata pasal orang yang menulis?" CJ7 buka buku catatan kemudian membaca,


“Tahu kau mengapa aku sayangi kau lebih dari siapa pun? Karena kau menulis. Suaramu takkan padam ditelan angin, akan abadi, sampai jauh, jauh di kemudian hari."


Sangka aku CJ7 nak cakap pasal surah Iqra'. Alih-alih dia bawa kata-kata Pramoedya Ananta Toer, seorang penulis tersohor Indonesia. Pernah dicalonkan dalam Anugerah Nobel, tetapi tak pernah menang.


"Kalau awak nak jadi immortal, menulislah."


Meremang tengkuk aku. Tak pernah orang beri pesan kesan menulis sebegitu besar.


CJ7 angkat buku di hadapannya. Tajuk buku tu, 'Kami Ada Mimpi'. Kisah-kisah benar dan adaptasi cerita sukarelawan aktivis pendidikan.


"Kawan-kawan awak ada menulis dalam ini. Mereka baru berumur dalam lingkungan 19 - 28 tahun, muda lagi. Saya nasihat kepada mereka, tulis sejarah sendiri. Jangan biar orang lain menulis untuk kita, selagi kita mampu menulis."


Aku diam. Selalu depan CJ7 aku hilang kata-kata. Kalau boleh aku nak jadi span (sponge) menyerap semuanya. Setiap satu pun bermakna. Setiap satu pun ilmu. Setiap satu pun beri aku nyala dalam dada. Aku orang muda yang perlu membuat perubahan. Mula dari diri aku sendiri, kemudian kepada orang lain sekitar aku.


CJ7 tiba-tiba senyap. Kemudian mengambil nafas. Matanya tadi bercahaya, bertukar jadi sayu.


"Hujung minggu baru ni, saya jumpa kawan-kawan lain di luar. Banyak yang mereka kongsikan. Kisah masyarakat yang sudah lama kita tak ambil peduli. Banyak cerita sebenarnya. Tetapi yang paling menusuk dalam dada saya, bila kawan saya cerita, ada anak yatim bercerita tentang keluarga. Seorang anak ini kemudian beri komen mengenai ibu dia. Awak tahu apa yang adik tu cakap?"


CJ7 mahu mengaktifkan indera aku. Untuk fokus kepada ayat seterusnya.


"Walaupun mak saya buta, tapi, ayam masak merah mak saya paling sedap dalam dunia."


Mata CJ7 bergenang. CJ7 melarikan pandang ke tempat lain. Mungkin dia malu untuk tunjukkan ekspresi sebenar depan aku.


Aku sendiri terkedu. Kepala aku fikir macam-macam. Dengan ayat macam tu, apa sebenarnya kehidupan yang adik tu lalui. Aku tak tahu, aku pasti CJ7 pun tak tahu.


CJ7 memandang pen aku yang terletak di atas buku catatan yang terbuka. Banyak muka surat yang kosong tidak bertulis. Aku memang agak malas menulis. Tapi CJ7 tidak. Kata-kata aku yang dirasakan penting pun dicatatnya. Bicara orang muda seperti aku, tetap ada nilai di hujung pena CJ7.


CJ7 membuka mulut, "tulislah untuk orang-orang yang tidak boleh menulis seperti adik yang emaknya buta. Tulis bagi pihak mereka. Jadi suara mereka dengan pen awak tu. Itu baru namanya kita berjuang menggunakan pen dan dakwat. Bawa suara mereka ke jabatan kebajikan dan institusi zakat. Supaya mereka dibela sebagai seorang manusia yang punya harga diri."


Ada sesuatu masuk dalam diri aku. Serentak dengan itu, bulu roma aku tegak berdiri.


Menulis juga boleh jadi suara. Di zaman moden penuh cerita Korea dan drama TV lakonan Aaron Aziz, Adi Putra, Tiz Zaqyah, aku menerima bicara di alam realiti yang seperti dalam TV.


Bicara CJ7 seolah-olah skrip drama, tetapi yang membezakan, ia depan mata aku. Telinga aku cukup sihat untuk mendengar dalam keadaan sedar. Realiti masyarakat yang CJ7 hadapi setiap hari kerana CJ7 memutuskan untuk berada di atas padang untuk sendiri menyaksi depan mata.


"Saya bukan menjaja cerita nak jentik simpati awak atau sesiapa saja. Saya cuma mahu mengingatkan tentang tanggungjawab saya, dan tanggungjawab semua orang yang mengaku muslim."


Aku minta CJ7 terangkan lebih lagi kerana aku tidak faham.


CJ7 membetulkan duduk. Mengalih pandang ke skrin komputer di sisi kiri. CJ7 menggerakkan tetikus dan mencari ikon shutdown di tetingkap. Aku kira bulan Ramadhan lebih membuatkan CJ7 lebih kritis, lebih banyak turun padang, lebih banyak menimba ilmu, dan lebih banyak buat benda berbanding bulan biasa. Puasa tidak melemahkan CJ7, malah memberikan dia lebih kuasa.


"Baca surah Al Maaun. Di situ ada peringatan tentang orang yang mendustakan agama. Dan kita takkan nak masuk dalam golongan ni. Kalau kita nak keluar dari celaan, kita mesti menyantuni anak yatim dan miskin. Sebab itu saya kata, kerja-kerja ini tanggungjawab, bukan optional."


Kata-kata CJ7 buat aku terus berfikir. Aku masih belum dapat berbincang secara rinci mengenai rancangan sayembara. Tapi aku sudah temui setiap sebab kenapa aku juga perlu menulis.


Antara sebab pertama mahu menjadi abadi, atau kedua sebagai tanggungjawab sosial. Aku pilih aku nak menulis atas dasar tanggungjawab. Kalau ini kelebihan yang aku ada, aku patut salurkan ke tempat lebih baik. Lebih bermanfaat pada orang lain. Tapi aku bukan pandai sangat.


"Saya tidak pandai sangat menulis ni," aku tidak malu berceritakan kekurangan diri.


"Bila awak akan pandai menulis? Esok, minggu depan, bulan depan, tahun depan, atau 10 tahun lagi?" CJ7 bertanya serius. Bila dia memprovokasi, aku jadi gerun.


"Jawab tanya saya." CJ7 mengeraskan lagi tona suaranya.


"Perlukan saya jawab secara spesifik?" Aku tanya polos.


"Perlu, sebab saya nak dengar komitmen dari awak. Kalau awak kata 2 tahun dari sekarang awak akan pandai menulis, saya akan cari awak balik selepas 2 tahun dan menuntut apa yang awak janjikan."


Psiko betul CJ7 ni kadang-kadang.

"Tapi tahu apa yang awak akan tertinggal? 2 tahun awak akan rugi untuk menabur bakti sebagai seorang pejuang yang menulis. 2 tahun!"

Tuesday, July 30, 2013

Diari Seorang Siapa (?) : #4

#4

Aku pun tak tahu kenapa aku menulis di sini. Mungkin ini tempat alter ego yang menyebabkan aku tidak perlu menjaga apa-apa. Terutama bentuk tulisan, apatah lagi imej. Eh, aku ada imej ke? Sedangkan jantina aku pun kau tak berapa pasti, macamana kau boleh bayangkan aku ni macamana.

Tapi aku rasa, aku mula mengenal siapa aku. Aku adalah suara yang dijelmakan dalam bentuk tulisan. Suara ini ialah suara menyanggah. Walaupun aku bukannya baik, atau sebenarnya warna yang aku ada adalah kelabu.

Sekejap, aku ingin bertanya “apa kata kau kalau kita menampakkan dosa silam kita pada orang lain?”

Selalu ada orang kata, "Tuhan sendiri dah menyorokkan aib kau, kenapa kau nak menampakkan aib sendiri pada orang lain."

Ini yang berlaku pada aku.

Aku yang sedemikian kelabu ini, sejak akhir-akhir ini ramai betul orang datang mengadu. Membuka cerita-cerita lama mereka dan minta aku beri pendapat. Aku katakan pada mereka, "I'm no Ustaz atau Ustazah," tapi mereka seolah tidak kisah. Kata mereka, "kalau kami cuba pun mengadu kepada Ustaz Ustazah, mereka tidak akan layan. Samada mereka terlalu sibuk dengan urusan ceramah sana sini, atau mereka mendengar cerita kami dan terus menghukum. Lebih teruk dari itu memandang kami dengan lirikkan, 'engkau ini pendosa.' Begitulah."

Hhhmmm. Agaknya sebab itu mereka pilih aku. Sebab aku sama macam mereka kelabu? Dan aku bertanya pada mereka, “korang tidak kisah aku tahu semuanya tentang kamu?”

Apa jawab mereka? “Awak ada sepasang mata yang memandang manusia lainnya dengan nilai kemanusian. Suara awak walau selalu lantang, menegur dengan tegas dan tepat, tetapi awak istimewa. Awak tidak seperti ahli agama yang lainnya.”

Tentu aku nak tahu apa yang mereka nampak dalam diri aku yang tidak berjenis, tidak berimej dan berwarna kelabu. Jawab dia, “awak, awak tidak menghukum.”

Wah, entah apa aku perlu rasa dengan komen sebegitu. Aku cuma hairan, mereka yang berada dalam jalan agama itu, benarkah mereka itu gemar menghukum semuanya. Aku tertanya tidakkah mereka pernah berbuat dosa? Maksum semuanya? Sebab itu melayakkan mereka memandang sebelah mata?

Jangan marah, aku tahu banyak benda yang kau nak marahkan aku. Tetapi lebih baik kau cakap baik-baik, dalam suasana hikmah, supaya kita berbicara, bersetuju atau tidak bersetuju dalam dialog yang harmoni. Aku cakap pun sebab aku sayang pegangan yang aku ada. Suara lantang pada kebenaran tidak mengapa, jangan tidak ada suara langsung bila kita nampak benda tidak kena. Tetapi di sebalik itu, aku berpendapat kau mesti ada suara kemanusian. Suara kemanusiaan kau mesti lebih lantang, kerana itu suara sejagat.

Sebelum aku lebih rancu dan rancau, aku petik puisi Usman Awang untuk dikalungkan di jiwa kau yang asalnya murni dan suci. Tajuknya Kemanusiaan.

Jika kita menyesali kematian atas seorang
dan hati tidak berdenyut untuk kematian yang lain
maka kemanusiaan tidak ujud di mahkota kebenaran
sebab bukanlah kemanusiaan bila ia ada perbatasan.

OK lah, ini yang apa aku rasakan kenapa nak menulis kat sini. Mungkin banyak isu semasa yang menyangkut perkara penting atau tidak penting. Entahlah? Kadang-kadang aku jadi keliru. Kenapa pilih isu-isu yang aku bebelkan di sini, sebab cerita ini semua adalah fenomena di media baru, iaitu Facebook. Aku tulis mungkin sebab aku nak beri tanda apa yang berlaku pada zaman aku hari ini. Walaupun dua tiga hari nanti sudah tidak relevan, tidak mengapalah. Ia sensasi hari ini, mungkin ada nilai pelajaran.

Dalam masa Ramadhan ni tahun 1434 Hijrah (2013), banyak betul perkara tegang berlaku yang boleh huru-harakan Malaysia negara berbilang bangsa ni.

Kes Pertama
Kes Alvivi, bila mana mereka memaparkan gambar di FB kemudian mengucapkan selamat berbuka dengan Bah Kut Teh. Kau rasa macamana?

Kes Kedua
Isu sekolah yang membenarkan anak murid bukan Islam makan di bilik persalinan masa bulan puasa. Ramai komen perkara tersebut diskriminasi. Sebab merendahkan martabat orang bukan Islam hanya semata mereka tidak berpuasa.

Pecah kecoh warga netizen semuanya. Eh kau tahu ke istilah netizen tu? Internet Citizen (warga internet), dengan maksud mereka yang hidup dalam internet. Hairan bunyinya kan. Aku pun masuk dalam golongan ini juga rasanya.

Apa maksudnya? Orang yang tidak ada internet sebenarnya tidak terkesan pun dengan dua isu tersebut. Isu Alvivi atau isu Makan di Bilik Persalinan. Sedang ada isu lebih besar macam TPPA dan sidang parlimen. Errmm, tapi yang last tu memang aku kurang tahu. Jadinya memang dua isu ini berjaya menutup perkara lebih besar yang patut dibincangkan oleh warga netizen seperti kau dan aku.



Kau rasa macamana? Aku rasa aku nak biar kes Alvivi dan Sekolah tu. Malas aku nak ulas.

Wednesday, July 24, 2013

Diari Seorang Siapa (?) : #3


#3

Ramai sudah orang mengata aku. Kata mereka aku menunjuk kebaikkan yang kawan-kawan aku buat. "Kebaikkan ni jangan nak dipromosi sangat, nanti timbul riak."

Hello kawan, kalau kau tak nak promosi benda baik, tahu apa yang akan berlaku? Perkara negatif akan segera mengisi ruang dan isi kekosongan. Kalau kau boleh berhentikan semua perkara jahat yang merosakkan, aku tidak kisah untuk berhenti bercakap benda-benda kemanusiaan yang kawan-kawan aku perjuangkan. Hakikatnya kau tidak akan boleh. Kerana setiap yang kosong itu akan ada benda yang mengisinya. Dan aku putuskan, untuk terus bercerita dan bercerita.

Setahu aku, riak bukan masuk dalam salah satu perkara yang membatalkan puasa. Aku tahu kau marah, tapi soal hati itu urusan makhluk dengan Allah. Bukan kita ada alat timbang untuk ukur ikhlas, riak. Dan kita tidak perlu sibuk-sibuk urusan privacy antara manusia dan Tuhannya.

Kau tahu penyakit seperti batuk dan selsema? Kata orang penyakit seperti ini berjangkit. Apatah lagi sakit mata. Seperti mana penyakit, kebaikkan itu berjangkit. Cuba kau buat eksperimen mudah, cuba kau senyum, aku pasti orang yang kau hadiahkan senyum tu akan senyum balik. Melainkan orang yang salah faham maksud kau, terutama yang berlainan jantina. Mereka mungkin anggap kau nak usha.

Satu hari aku berada dengan kawan-kawan pejabat. Seorang kawan aku ni, memang aku respek. Dia seorang ibu beranak dua yang mempunyai perkahwinan jarak jauh. Maksud, dia akan jumpa suami di hujung minggu. Bukan benda hairan pun zaman ni, ramai orang hidup terpisah macam tu.

Aku respek dia sebab dalam kesibukkan dia besarkan anak, dia masih cakna hal politik, hal kebenaran, hal masyarakat dan masih suka membaca. Walau terpaksa menguruskan anak yang masih kecil lagikan sedang menyusu.

Selalu dia paling cepat respon pada hal-hal sosial dan masyarakat. Dia tidak boleh dengar hal anak yatim dan miskin, anak-anak jalanan yang terbiar dan apa sahaja yang melibatkan hal manusia terpinggir. Dia paling dulu akan menghulurkan duit dan bantuan. Ada waktunya mengajak suami (jika suami balik di hujung minggu) bersama anak-anak untuk melayani anak yatim.

Dia akan ambil masa untuk duduk bersembang dengan kawan pejabat lain yang memang menjadi aktivis masyarakat. Tidak kisah berhabis masa, dia akan duduk dengar dengan khusyuk tentang realiti massa. Satu hari aku tanya, kenapa dia tidak seperti ibu-ibu lain yang akan bercakap hal masakan, atau hal anak-anak, atau hal-hal domestik lain seperti shopping dan fesyen.

"Saya sendiri sedar saya tidak akan mampu buat macam mereka yang betul-betul terjun untuk peduli hal masyarakat tertindas. Tetapi sekurang-kurangnya saya ambil peduli dan tanya terus orang yang menyaksi langsung kisah yang berlaku sekeliling kita. Sebab saya tahu, saya boleh sampaikan pada suami, pada anak-anak, pada anak-anak didik saya. Mana tahu mereka sampaikan pada orang lain, dan itu menyebabkan mereka terbuka hati untuk berbuat baik dan menolong orang susah."

Hmmmm, susah, susah aku nak jumpa orang macam ibu muda ni. Perempuan, ada anak dua, anak kecil yang masih bayi, tetapi sangat mengambil peduli walau hanya dengan mendengar cerita.

Tetapi sebab depan mata aku, aku kena percaya bahaya bukan semua ibu perlu di stereotypekan perangai mereka.

Tetapi, setakat hari ni, aku belum pernah jumpa lelaki yang berminat untuk tanya hal-hal aktivis. Sekurang-kurangnya bila aku berpeluang duduk dengan kawan aktivis, dan kawan-kawan yang lain. Belum ada lagi.

Tapi aku memang hairan, hal macam ni lelaki ramai tak minat. Kenapa eh?

Aku rasa menjadi aktivis tidak akan dapat memberi kau lampu suluh (spot light), apatah lagi kemewahan dan kesenangan.

Aku hairan bukan apa, bapa kepada isu-isu kemasyarakatan dan sosial itu seorang lelaki, dan dia adalah Baginda Nabi.

Itu yang aku hairankan. Setahu aku Nabi tidak menampakkan wajahnya yang menghukum, tetapi yang penyayang dan manusia.

Lelaki di tempat aku, silap, di negeri aku suka benar hal hukum, sampai mereka jadi gila hukum haram pada hal bah kut teh dan shisha.

Betapa kelirunya kerana tak nak pula puak penegak hukum nak haramkan rokok dan hukum pelaku riba' dan rahsuah.

Makan babi kata kawan aku, dapat dosa makan babi. Tapi kalau riba dan rasuah, dosa seperti berzina dengan ibu sendiri. Dan riba, Allah sendiri declare dalam Al Quran, pengamalnya Allah sendiri akan perangi.

Apa pun kau buat, ianya berjangkit. Sebab tu jangan marah anak kau, kalau kecil lagi tadika dia dah meniru lagak kau nak merokok. Dan kalau mereka ada mulut lancau dan celupar, kalau di bibir kau tak pernah henti ulangan cakap kotor dan kasar.

Sebab itu aku kata, kalau kau tak boleh buat benda baik, jangan tahan diri kau tuk sampaikan benda baik. Atau kongsikan benda baik. Butang share tu bukan susah sangat kau nak tekan. Mark Zuckerberg tak minta kau bayar pun. Tapi itu pun kau tak nak buat, sebab segan. Kau kata, "aku tak nak tampilkan imej baik sedangkan aku hakikatnya tak."

Eleh, tunjuk malaikat konon.

Oklah, kalau kau cakap macam tu, fine. Aku harap mulut, bibir dan hati kau jangan la pula tertahan untuk berdoa untuk kebaikkan. Boleh? Boleh buat ke benda yang simple macam ni?

Tuesday, July 23, 2013

Diari Seorang Siapa (?) : #2

#2 

Kau tahu kenapa aku menulis di sini. Nanti-nanti kau mungkin akan tahu. Aku nak sambung apa yang aku kecil hati sangat minggu lepas. Ketika ahli agama kata, salah satu kriteria nak sampai takwa ialah membelanjakan rezeki yang diberikan, ahli tersebut beri komentar, “bukan semua orang boleh dapat takwa melalui jalan ni. Hanya yang ada kelebihan harta je boleh dapat.” 

Aku jadi keliru sehingga hendak bertanya kenapa makna rezeki disempitkan begitu rupa? Rezeki tu bagi aku pelbagai. Boleh jadi umur, hidup, masa, kelapangan, tenaga, idea, kesihatan, usia muda, kepakaran, doa, kesempatan, dan sudah tentu wang dan harta benda. Walau kita tidak banyak wang dan harta sekalipun kita masih memberi. 

Bagi aku la, dan aku mungkin salah, dan kalau aku salah kau boleh betulkan. Bukan jumlah yang akan dinilai di kerajaan Tuhan, tetapi kesanggupan kau, keikhlasan kau dalam memberi itu. Memang bagi orang yang tidak kaya seperti aku tidak akan boleh bagi banyak pun. Tetapi aku pernah terbaca di Facebook seorang manusia yang tidak kaya pun tetapi telah menyerahkan seluruh kehidupan dia demi untuk kebaikkan sejagat. Aku rasa dia lebih baik dari Bill Gates yang hanya menyumbangkan 50% dari kekayaan, sebab manusia tu serahkan semua 100%. 

Kenapa aku sampai kecil hati? 

Sebab setiap hari aku melihat pengorbanan yang dilakukan oleh kawan-kawan aku. Mungkin orang pandang kecil sebab mereka berkorban di sekitar keluarga. Tetapi aku pasti kecil bukan bermakna semua orang boleh buat pun. 

Beberapa contoh, bukankah seseorang itu telah berkorban rezeki dari kesempatan masa dan kelapangannya, bila dia ambil cuti tanpa gaji atau separuh gaji untuk menjaga mak dan ayah yang sakit dan tua? 

Bukankah seseorang itu telah infakkan rezeki dari segi masa muda bila dia ambil keputusan untuk cuti satu semester dari pengajian universiti kerana mahu menjaga mak yang baharu lepas pembedahan tulang belakang? 

Walaupun masih ada adik beradik lain yang lebih patut bekorban kerana sudah stabil dari segi ekonomi dan kehidupan. Bukankah seseorang itu telah infakkan rezeki kesenangan apabila dia berkeputusan untuk membatalkan tiket ke UK yang telah dirancang selama setahun, bila mendapat tahu mak tidak sihat untuk dijaga sehingga kembali sihat? 

Ada ramai kawan-kawan aku, muda belia, mahasiswa lagi. Tidak ada duit poket pun, tetapi beramai-ramai turun hujung minggu di rumah anak-anak yatim demi mengajari mereka membaca dan mengira kerana pencapaian akademik mereka tidak setara dengan yang punya Ayah Ibu. Bukan infakkan rezeki dari segi tenaga, masa dan kelapangan mereka ke? 

Ada yang sudah bekeluarga ada suami ada anak, jadi surirumah, tetapi tetap mahu mengunjungi anak-anak yang keciciran di rumah perlindungan, mengajar mereka kerana ada yang sudah tingkatan 4 tetapi mendapat markah 0 (kosong) dalam Bahasa Melayu. 

Mahasiswa dan orang muda yang turun ke jalanan di malam-malam minggu, mengumpulkan makanan, baju dan selimut untuk diserahkan kepada gelandangan kota yang tidak mempunyai alas dan bumbung untuk berteduh. Bukankah mereka telah infakkan harta mereka? 

Yang aku faham, sekiranya kriteria itu dibuat oleh Tuhan bermakna setiap makhluk akan berupaya mencapainya dengan setakat apa yang mereka ada. Sesuai dengan apa yang punya mereka meski mereka tidak punya banyak. Kerana Tuhan menguji dengan apa yang ada di sekeliling kita, bukan menguji dengan benda yang kita tidak ada. 

Kata kawan aku, ada orang menunggu kaya untuk bersedekah. Tetapi dia dah kaya, dia tetap kedekut juga. Ada yang kata bila dah stabil dari pekerjaan, dia akan luangkan masa untuk tolong orang sekitar, tetapi bila sudah selesa, dia tetap memberi alasan bukan-bukan. 

Dan apa kata kau, bila kau melihat manusia gelandangan (homeless) tidak terbela hidup mereka sedang mereka hidup di sekitar 1 kilometer dari kawasan masjid yang mendapat kutipan RM10,000 setiap kali Jumaat? 

Kau boleh kata aku manusia bising yang suka berkata-kata. Boleh jadi juga. Tetapi kalau kau yang baik tidak mengajak orang lain buat baik bersama-sama, siapa lagi yang akan ajak? Adakah kau mengharap mereka yang merempit, yang terjebak dalam gejala sosial yang akan buat? 

Jangan menyumpah aku sekarang, semua itu tidak perlu. Kau akan membazirkan tenaga yang boleh kau salurkan kat tempat yang lebih bermanfaat. Contoh tenaga yang kau boleh bazirkan dari menyumpah seranah aku, ialah dengan mencari orang yang susah di sekitar kejiranan kau, dan kau bantu mereka semampunya. 

Aku bagi cadangan, bukan susah pun. Kalau kau tak punya duit, kau sumbangkan kepakaran. Kalau kau terrer tanam pokok sayuran, kau ajar mereka tanam pokok sayuran. Sekurang-kurangnya mereka boleh makan hasil sendiri tanpa membeli di pasar yang harga sekarang ini semuanya sudah naik melampau-lampau. 

Kalau kau terrer main muzik, boleh je kau buat persembahan jalanan, duit yang kau dapat tu, kau boleh sumbangkan pada orang susah. 

Dan orang susah boleh jadi ada di mana-mana, malah di kota besar seperti di Kuala Lumpur. 

Aku cuma risau sekarang. Kerana orang ahli yang menasihat dengan nasihat yang keliru. Seperti yang aku mulakan di awal penceritaan. Kerana ahli ini menasihat begitu, ramai yang akan lepas tangan dan kata, aku belum cukup kaya untuk menderma, memberi, dan membayar zakat. Sedang Nabi kata, kalau kau dapat sedekahkan senyum itu sendiri sedekah, dan bagi aku rahmat. 

Berapa kali bila kau berada di highway, kau nampak orang yang jaga kaunter itu kau senyum? Berapa kali ketika kau minta tiket atau bayar duit, kau pandang tepat ke mata orang itu kemudian kau senyum, kerana dia pun manusia seperti kau yang layak untuk dilihat sebagai manusia dengan penuh penghormatan? Berapa kali? 

Kalau kau pernah, kau mesti tahu, senyum kesan segera dia adalah senyum juga. Senyum kau jangan pandang remeh, sebab kalau kau mula pandang remeh, kau sebenarnya telah menyanggah Nabi. Mungkin kau menyelamatkan seseorang dengan senyum, kau tidak pernah tahu itu. Kalau senyum pun sudah sedemikian hebatnya, apatah lagi kata-kata yang baik. 

Tetapi kita ni lebih suka guna F word, kata-kata carut dan cela, apatah lagi caci maki yang mana bila kita buat tu kita tak pernah sedar kesan apa yang ditinggalkan kepada orang yang kau cela tu. 

Yang aku risau, kita lebih respon kepada kes pelakon hensem kahwin lagi satu. Atau Ustaz Fesbuk kahwin lagi satu lagi jadi tiga. Atau kita lebih kenal pelakon, seolah-olah mereka itu sedara kita. Contoh kalau artis perempuan tu baru dapat anak, kita sibuk mesej kawan-kawan itu maklumkan. What the? 

Kisah macam tu tidak akan huru-hara dunia pun, kecuali kau yang sibuk-sibuk nak besarkan perkara tu. Kisah yang akan huru-harakan dunia ialah, bila kau tahu ada manusia yang kelaparan, kau masih buang makanan yang terlebih beli di bazaar Ramadhan tadi.

Tuesday, July 16, 2013

Diari Seorang Siapa (?) : #1

#1


Ustaz itu aku melihatnya dengan hormat. Semua orang hormat pada dia. Ustaz sudah separuh baya umur dan mungkin ada bebarapa tahun lagi untuk berpencen. Bilik mesyuarat itu tidak penuh, tetapi setiap kerusi pun berisi orang. Aku tergerak pergi ceramah di bulan Ramadhan ini sebab malam tadi aku baca sampai habis novel Contengan Jalanan yang ditulis oleh Hlovate. Buku indie, apa kaitannya dengan ceramah? Hahaha, entah, aku cuma rasa seperti dicucuk-cucuk untuk pergi ceramah, sebab rasa insaf dengan novel itu.


Buku itu separuh dari tulisannya adalah mengenai pemuzik indie yang selalu buat gig underground. Termasuk juga watak Fend yang gemar melukis atas artwork, muda lagi, seorang anggota band juga. Novel tu, ada juga waktunya rasa aku nak menyumpah. Bulan Ramadhan yang berkat ni, buat fikiran aku dimasukkan dengan senarai nama lagu dan band. Tetapi aku sabar kerana kenangkan kawan aku yang mahu aku habiskan membaca dalam bulan Ramadhan ini juga. Sehinggalah dipertengahan novel, Fend pergi backpack ke Australia dalam bulan Ramadhan dan akhirnya menjumpai makna Ramadhan dan makna hidup sekaligus.


Untuk itu, pada pukul 4.00am aku menangis. Ada orang hairan orang macam aku menangis. Salah ke menangis? Aku pernah melihat brother badan macam booucer tegap, kalau lempang memang boleh bisu seminggu, boleh menggogoi menangis bila sebut nama Nabi.


Aku menangis kerana menjumpai roh dalam novel indie pop macam tu. Rupanya, hidayah dan peringatan boleh datang dalam pelbagai bentuk.


Novel itu menyebabkan aku mengambil kunci kereta untuk pergi ceramah pejabat. Blok tempat kerja aku dengan ceramah tu adalah dalam satu kilometer. Bila buka email pagi, tengok ada peringatan tentang syarahan yang akan berlangsung hati aku terusik. Subuh pagi tadi keinsafan masih berbaki, jadi aku pun pergi seorang. Kawan bilik sebelah aku ajak, tapi dia sibuk. Yang penting aku dah berpesan-pesan dengan kebaikkan, kan?


Tapi aku ada terkilan dengan ceramah ni. Walaupun banyak benda aku catit, siap rekod dalam perakam suara. Yang ini aku nak kongsikan.


Seperti mana-mana ceramah Ramadhan, yang akan diulang adalah objektif akhir atau tujuan bulan yang istimewa ini. Kata Ustaz, itu adalah takwa. Aku perlu mengambil sumber lebih mantap dan yakin dalam diri aku, aku katakan bukan kata Ustaz, tapi kata dalam Al Quran. Lebih tepat kata Tuhan.


Dan sudah tentu, akan banyak pertanyaan dalam kepala.


Apa itu takwa?
Macam mana nak capai takwa?
Adakah orang macam aku ni berpeluang mencapainya?
Dan aku ada soalan jahat, mereka yang memberi syarah tentang ini sudah sampaikah mereka ke tahap itu?


Orang macam aku, dan kau tidak perlu tanya sekarang aku macam apa. Cukup aku ceritakan di awal kisah catatan ini, aku seorang pendosa. Dalam diri aku mungkin ada garis-garis hitam, putih dan banyaknya kelabu. Kelabu itu, kalau masa aku panjang dan ruang ini lebih besar, mungkin aku akan ceritakan. Begitu pun cela diri aku ini, aku dipesan seorang kawan yang sempoi tetapi ilmu banyak. Dia kata aku boleh kembali. Harapan ini katanya, tidak akan ada seorang pun boleh merampasnya dari aku hanya jika aku sepenuh percaya. Aku mahu percaya.

Kadang-kadang aku rasa kawan aneh aku tu, lagi jauh penghayatan agamanya. Walau pakai seluar jeans koyak-koyak, tapi kalau cakap pasal hidup sumpah deep.


Baik. Sambung. Kau jangan menyampah dengan aku sekarang, barangkali ada sesuatu yang boleh kau bash aku dengan tulisan ini. Aku akan tunggu, sebab hanya dengan teguran kita boleh tersedar. Dan untuk aku, teguran adalah petanda sayang (ahaks).


Ustaz kata takwa itu takut kepada Allah. Di sini aku sudah tidak senang duduk. Aku jadi begitu hairan kenapa Tuhan itu perlu kita dekati dengan ketakutan. Aku tidak mahu rasa takut seperti itu, seolah-olah kena oppressed, seolah-olah terpaksa. Yang aku mahukan satu perasaan lebih mesra dari takut.


Balik rumah, aku google.




Makna yang lebih aku sukai. Rasa sentiasa bertuhan, minda yang sentiasa sedar dan sentiasa berada dalam kebaikan.

Aku tahu kau mula nak menuduh aku nak jadi agamawan. Atau kau nak cakap aku lebih percaya Ustaz Google. Bukan! Aku cuma cerita apa yang aku fahami. Dalam diri aku itu yang aku faham mengenai takwa. Bukankah untuk beragama itu perlu ikhlas bukan dipaksakan?