Tuesday, July 23, 2013

Diari Seorang Siapa (?) : #2

#2 

Kau tahu kenapa aku menulis di sini. Nanti-nanti kau mungkin akan tahu. Aku nak sambung apa yang aku kecil hati sangat minggu lepas. Ketika ahli agama kata, salah satu kriteria nak sampai takwa ialah membelanjakan rezeki yang diberikan, ahli tersebut beri komentar, “bukan semua orang boleh dapat takwa melalui jalan ni. Hanya yang ada kelebihan harta je boleh dapat.” 

Aku jadi keliru sehingga hendak bertanya kenapa makna rezeki disempitkan begitu rupa? Rezeki tu bagi aku pelbagai. Boleh jadi umur, hidup, masa, kelapangan, tenaga, idea, kesihatan, usia muda, kepakaran, doa, kesempatan, dan sudah tentu wang dan harta benda. Walau kita tidak banyak wang dan harta sekalipun kita masih memberi. 

Bagi aku la, dan aku mungkin salah, dan kalau aku salah kau boleh betulkan. Bukan jumlah yang akan dinilai di kerajaan Tuhan, tetapi kesanggupan kau, keikhlasan kau dalam memberi itu. Memang bagi orang yang tidak kaya seperti aku tidak akan boleh bagi banyak pun. Tetapi aku pernah terbaca di Facebook seorang manusia yang tidak kaya pun tetapi telah menyerahkan seluruh kehidupan dia demi untuk kebaikkan sejagat. Aku rasa dia lebih baik dari Bill Gates yang hanya menyumbangkan 50% dari kekayaan, sebab manusia tu serahkan semua 100%. 

Kenapa aku sampai kecil hati? 

Sebab setiap hari aku melihat pengorbanan yang dilakukan oleh kawan-kawan aku. Mungkin orang pandang kecil sebab mereka berkorban di sekitar keluarga. Tetapi aku pasti kecil bukan bermakna semua orang boleh buat pun. 

Beberapa contoh, bukankah seseorang itu telah berkorban rezeki dari kesempatan masa dan kelapangannya, bila dia ambil cuti tanpa gaji atau separuh gaji untuk menjaga mak dan ayah yang sakit dan tua? 

Bukankah seseorang itu telah infakkan rezeki dari segi masa muda bila dia ambil keputusan untuk cuti satu semester dari pengajian universiti kerana mahu menjaga mak yang baharu lepas pembedahan tulang belakang? 

Walaupun masih ada adik beradik lain yang lebih patut bekorban kerana sudah stabil dari segi ekonomi dan kehidupan. Bukankah seseorang itu telah infakkan rezeki kesenangan apabila dia berkeputusan untuk membatalkan tiket ke UK yang telah dirancang selama setahun, bila mendapat tahu mak tidak sihat untuk dijaga sehingga kembali sihat? 

Ada ramai kawan-kawan aku, muda belia, mahasiswa lagi. Tidak ada duit poket pun, tetapi beramai-ramai turun hujung minggu di rumah anak-anak yatim demi mengajari mereka membaca dan mengira kerana pencapaian akademik mereka tidak setara dengan yang punya Ayah Ibu. Bukan infakkan rezeki dari segi tenaga, masa dan kelapangan mereka ke? 

Ada yang sudah bekeluarga ada suami ada anak, jadi surirumah, tetapi tetap mahu mengunjungi anak-anak yang keciciran di rumah perlindungan, mengajar mereka kerana ada yang sudah tingkatan 4 tetapi mendapat markah 0 (kosong) dalam Bahasa Melayu. 

Mahasiswa dan orang muda yang turun ke jalanan di malam-malam minggu, mengumpulkan makanan, baju dan selimut untuk diserahkan kepada gelandangan kota yang tidak mempunyai alas dan bumbung untuk berteduh. Bukankah mereka telah infakkan harta mereka? 

Yang aku faham, sekiranya kriteria itu dibuat oleh Tuhan bermakna setiap makhluk akan berupaya mencapainya dengan setakat apa yang mereka ada. Sesuai dengan apa yang punya mereka meski mereka tidak punya banyak. Kerana Tuhan menguji dengan apa yang ada di sekeliling kita, bukan menguji dengan benda yang kita tidak ada. 

Kata kawan aku, ada orang menunggu kaya untuk bersedekah. Tetapi dia dah kaya, dia tetap kedekut juga. Ada yang kata bila dah stabil dari pekerjaan, dia akan luangkan masa untuk tolong orang sekitar, tetapi bila sudah selesa, dia tetap memberi alasan bukan-bukan. 

Dan apa kata kau, bila kau melihat manusia gelandangan (homeless) tidak terbela hidup mereka sedang mereka hidup di sekitar 1 kilometer dari kawasan masjid yang mendapat kutipan RM10,000 setiap kali Jumaat? 

Kau boleh kata aku manusia bising yang suka berkata-kata. Boleh jadi juga. Tetapi kalau kau yang baik tidak mengajak orang lain buat baik bersama-sama, siapa lagi yang akan ajak? Adakah kau mengharap mereka yang merempit, yang terjebak dalam gejala sosial yang akan buat? 

Jangan menyumpah aku sekarang, semua itu tidak perlu. Kau akan membazirkan tenaga yang boleh kau salurkan kat tempat yang lebih bermanfaat. Contoh tenaga yang kau boleh bazirkan dari menyumpah seranah aku, ialah dengan mencari orang yang susah di sekitar kejiranan kau, dan kau bantu mereka semampunya. 

Aku bagi cadangan, bukan susah pun. Kalau kau tak punya duit, kau sumbangkan kepakaran. Kalau kau terrer tanam pokok sayuran, kau ajar mereka tanam pokok sayuran. Sekurang-kurangnya mereka boleh makan hasil sendiri tanpa membeli di pasar yang harga sekarang ini semuanya sudah naik melampau-lampau. 

Kalau kau terrer main muzik, boleh je kau buat persembahan jalanan, duit yang kau dapat tu, kau boleh sumbangkan pada orang susah. 

Dan orang susah boleh jadi ada di mana-mana, malah di kota besar seperti di Kuala Lumpur. 

Aku cuma risau sekarang. Kerana orang ahli yang menasihat dengan nasihat yang keliru. Seperti yang aku mulakan di awal penceritaan. Kerana ahli ini menasihat begitu, ramai yang akan lepas tangan dan kata, aku belum cukup kaya untuk menderma, memberi, dan membayar zakat. Sedang Nabi kata, kalau kau dapat sedekahkan senyum itu sendiri sedekah, dan bagi aku rahmat. 

Berapa kali bila kau berada di highway, kau nampak orang yang jaga kaunter itu kau senyum? Berapa kali ketika kau minta tiket atau bayar duit, kau pandang tepat ke mata orang itu kemudian kau senyum, kerana dia pun manusia seperti kau yang layak untuk dilihat sebagai manusia dengan penuh penghormatan? Berapa kali? 

Kalau kau pernah, kau mesti tahu, senyum kesan segera dia adalah senyum juga. Senyum kau jangan pandang remeh, sebab kalau kau mula pandang remeh, kau sebenarnya telah menyanggah Nabi. Mungkin kau menyelamatkan seseorang dengan senyum, kau tidak pernah tahu itu. Kalau senyum pun sudah sedemikian hebatnya, apatah lagi kata-kata yang baik. 

Tetapi kita ni lebih suka guna F word, kata-kata carut dan cela, apatah lagi caci maki yang mana bila kita buat tu kita tak pernah sedar kesan apa yang ditinggalkan kepada orang yang kau cela tu. 

Yang aku risau, kita lebih respon kepada kes pelakon hensem kahwin lagi satu. Atau Ustaz Fesbuk kahwin lagi satu lagi jadi tiga. Atau kita lebih kenal pelakon, seolah-olah mereka itu sedara kita. Contoh kalau artis perempuan tu baru dapat anak, kita sibuk mesej kawan-kawan itu maklumkan. What the? 

Kisah macam tu tidak akan huru-hara dunia pun, kecuali kau yang sibuk-sibuk nak besarkan perkara tu. Kisah yang akan huru-harakan dunia ialah, bila kau tahu ada manusia yang kelaparan, kau masih buang makanan yang terlebih beli di bazaar Ramadhan tadi.

No comments: