Sunday, June 22, 2008

Franck Ribery

Bila Franck Ribery mengapung doa di langit Bundes Liga ia adalah sesuatu. Bila Ribery menadah tangan di langit Perancis dan Turkey adalah sesuatu. Franck Ribery bukan ada apa-apa pun dengan saya. Saya nyata adalah peminatnya yang tidak tegar. Kerana itu saya menggelarnya unknown quality waktu Piala Dunia 2006 yang lalu. Beraksi di sayap kiri, menyokong Zidane dan feeder kepada Henry, siapa Ribery pada saya.

Buat apa saya suka Ribery yang digelar Kaiser di Jerman, The King di Perancis, Ferraribery di Turkey. Yang menyarung jersi keramat 7 di dalam kelab paling utama Bayern Munchen dan Marseille di Perancis. Mewakili Galasataray di Turkey, sehingga membenam Fernebahce. Sehingga bergaduh-gaduh pengurus Marsaille dengan Galasataray. Yang punya 2 parut besar di wajah akibat kemalangan waktu kecilnya. Ya, buat apa dan untuk apa Ribery pada saya.

Lebih baik saya memilih Christiano Ronaldo bukan. Dia juga menyarung jersi 7 di kelab paling kaya di England. Kelab yang saya tak suka itu, Manchester United, Red Devil. Dan kakinya seperti lipas kudung, sangat pantas dan laju. 42 gol, 42 gol untuk seorang pemain sayap. Sangat hebat. Henry pun tidak pernah (rasanya, ke pernah, lupa pulak) menyumbang gol sebanyak itu untuk Arsennal.

Sebenar, Ribery saudara saya. Terkejut? Saya sendiri terkejut. Betul saya bukannya lahir di Perancis pun. Ayah saya juga bukan orang Perancis, mak juga bukan. Ayat Perancis yang saya paling fasih ialah Wi sahaja. Tapi Ribery saudara saya. Saudara anda juga. Saudara muslim kita. Dan dia mengapungkan doa di dada langit Jerman! Ada banyak maknanya doa dipanjatkan, di atas hijau padang bola, di langit Jerman, ketika menyarung jersi Bayern Munchen (dengan senarai pemain seperti Klose, Ze Roberto dan Podolski) dan jurulatihnya Juergen Klinsman oleh seorang Caucasian seperti Franck Ribery.

Saya menyanjung Ribery kerana kesungguhannya. Lihat sahaja permainan kakinya yang hebat meski tidak sehebat Ronaldo. Meski, ya meski, Ribery mudah sahaja menewaskan 3 pemain pertahanan yang mengepungnya segenap sudut dengan kilasan dan dinamisme pergerakkan yang ada padanya. Boleh sahaja dia bergerak dari tengah menewaskan 5 pemain lain dan menyumbat gol di sudut gawang kanan luar dari kotak penalty dengan kaki kirinya. Ya kaki kiri.

Ribery mengajar saya satu, dan itu cukup untuk buat saya pantas menyanjungnya. Kesungguhan. Bahasa Arabnya jihad. Dan Ribery berdakwah keseluruh pelusuk dunia tentang Islam, keindahannya, tanpa suara, hanya menadah tapak tangan ke langit Jerman sebelum perlawanan bermula. Penyokong-penyokong dalam gema suara stadium menyoraknya, Ribery, Ribery, Ribery. Di kalangan rakyat Jerman yang tidak mengenal keesaan Tuhan, mereka menyorak nama hambaNya kuat-kuat, sepenuh perasaan.

Bagi saya Ribery berdakwah dengan cara yang paling tidak konvensional. Di padang bola. Khalayak non muslim mungkin boleh banyak membaca tentang Islam di mana-mana, tapi akhlaklah yang akan menyentuh nubari. Yakin dan beranilah yang membuka mata. Menadah tangan di langit Jerman, bukanlah tidak ada apa-apa. Ia adalah segala-galanya. Bagi masyarakat yang seolah menjadikan bola agama, graviti dan medan magnetik kehidupan mereka, menadah tangan ke langit itu ialah satu isyarat simbol mengEsakan Tuhan. Bergantung padaNya. Yang nantinya akan mengajak yang lain tertanya-tanya, apa perlunya Sang Raja, Kaiser (Ribery) berbuat seperti itu. Dalam calar imej Islam yang dahsyat di mana-mana, tadah tangan Ribery memberi nyaman di jiwa.

Belajar dari Ribery. Saya memang tidak pandai bermain bola. Tapi saya tahu saya boleh bersungguh. Itulah jalan jihad saya. Seperti Ribery, saya akan bersungguh. Dan kesungguhan ini adalah kerana, DemiNya semata. DemiNya semata.

p/s: Lihat di paparan muka hadapan blog ini untuk melihat pautan video you tube kelincahan Franck di padang bola.

Wednesday, June 11, 2008

Ghibli's Studio

Owh rupanya saya tidak seorang. Baru awal tahun ini saya jumpa seorang yang punya minat menonton anime dari Ghibli Studio. Sekarang saya sudah punya seorang lagi teman dengan minat yang sama. Senarai movie anime Ghibli di sini. Anime juga global sifatnya. Kenapa suka? Sebab orang-orang Jepun punya cara bercerita yang luar konvensional. Luar dari elemen anime Holywood, sangat timur dan mereka adalah artis yang ada kelas. Seni pada mereka adalah sesuatu yang sangat dititik beratkan dan disembahkan secara sesempurna mungkin. Saya suka Hayao Miyazaki, dalam aspek penceritaan dan pengarahan. Saya suka teknik bayang yang dilukis dalam anime-anime Studio Ghibli. Seperti melihat kanvas hidup yang sebenar, meski ia masih lagi anime. Seolah tanpa cela. Seperti Totoro yang bebas tanpa ada kotak sempadan.
Secara personel, saya sangat suka Whisper of the Heart, Totoro, Spirited Away dan Grave of Fireflies. Anda?
Sedang tunggu Howl's Moving Castle dan mencari Spirited Away untuk koleksi.

Monday, June 9, 2008

Menjadi Podolski

Bagaimana kalau anda masih dalam kemelut prestasi di pejabat. Tiba-tiba dipilih untuk mewakili pejabat untuk urusan perniagaan bertaraf antarabangsa. Anehnya, anda berjaya dengan cemerlang dan mendapat kontrak perniagaan tersebut. Adakah anda akan gembira?
Rasionalnya, anda akan bahagia, gembira tak terkata. Tapi bagaimana jika anda menjadi Podolski.
Podolski 'the wonder boy' untuk pasukan German di Euro 2008. Perlawanan pembukaan mereka perlu menentang Poland. Podolski adalah pemain sebelas utama untuk German, ironinya dia juga adalah kelahiran Poland.
Jaringan kedua German menentang Poland oleh Podolski, mengundang gembira semua (saya juga :p). Dengan kemelut prestasi semasa Podolski di Bayern, memang Podolski resah. Dengan jaringan di Euro 2008 untuk cap antarabangsa, Podolski patut ceria. Tapi wajah Podolski tidak begitu ketika bola memasuki gawang Poland.
Bagaimana anda, jika anda adalah Podolski?

Sunday, June 8, 2008

Semasa

Jika tengok dan perhatikan kepada laporan berita mutakhir, adalah siri kenaikan harga barang yang melonjak naik sehingga 30% dari harga sebelum minyak mencecah RM2.70. Terkini, cili merah RM8/kg menjadi sehingga RM11/kg. Ayam RM7/kg sebelum ini dalam lingkungan RM5-6 sahaja. Sayur-sayuran dan lain-lain lagi.
Ok bagaimana logiknya? Dengan kenaikkan harga minyak, harga pengangkutan akan naik juga. Kerana pengangkutan memerlukan bahan bakar, dan bahan bakarnya adalah minyak. Bagi penduduk di KL dan bandar-bandar besar, risiko untuk kehabisan keperluan makanan sehari-hari mungkin sedikit berbanding dengan mereka yang berada di luar bandar.
Ketika minyak diumumkan naik, kami berada di Kuantan. Dan perjalanan Kuantan ke Jengka adalah melalui kawasan-kawasan kampung dan pedalaman (baca: jauh dari bandar). Kami singgah di stesen minyak guna untuk kes-kes kecemasan (baca: hajat kecil dan besar), dan didapati stesen tersebut telah menaikkan notis minyak telah habis. Saya membayangkan bagaimana orang kampung ini akan menghadapi kesusahan ini.
Jadi adakah kita perlu berlapang dada? Nak tak nak, ini adalah tindakan yang perlu. Berlapang dada, tapi sampai bila. Sejarah tidak pernah pun mencatat, harga minyak pernah turun. Tidak pernah di negara kita ini. Tapi tidak di negara-negara pengeluar yang lain. Aduhai!
Rupa-rupanya, sewaktu harga minyak RM1.92 dulu, ketika adik saya di tahun akhir dan tidak lagi dibenar duduk di hostel, dia cuma dapat makan sekali sehari. Itu pun dia tunggu lewat petang agar tidak terlalu lapar esok hari. Aduhai adik! Dan dia tegar untuk tidak bercerita sehinggalah tamat pengajian. Ini bukan cerita terpencil, dan kawan-kawannya juga mengalami nasib yang sama. Mereka ini adalah pejuang-pejuang fi sabilillah, yang belajar untuk maslahat masa depan demi agama, negara dan bangsa. Patutlah, adik-adik saya yang ramai itu begitu stress wajah dan makin hari makin kurus di waktu mereka di tahun akhir. Aduhai!
Jadi bagaimana kita ini ya? Barangkali ini adalah waktu paling bagus untuk munasabah, untuk sebutir nasi yang dihasilkan petani, adalah titik keringat yang dizalimi. Untuk setitis peluh menitis dari petani dan nelayan, adalah derita yang tidak pernah dipedulikan. Aduhai!

Saturday, June 7, 2008

Penat dan Old Car

Penat
Saya sampai lewat petang semalam. Penat, bukankah saya baru selesai membantu mengkoordinasi satu seminar kebangsaan. Bukan main dan tah hapa-hapa. Penat yang dihimpun sekali. Mujur mata tidak merah lagi, kerja-kerja menyunting bukankah sudah habis. Alhamdulillah. Pulang untuk menyempurnakan cuti seminggu (?) dengan bekal yang banyak (macam tidak cuti bukan?). Tidak, ia tetap cuti, menghirup udara Keramat dan tidur di atas my favorite tilam, ia akan jadi cuti yang sempurna. InsyaAllah.
Sampai di rumah, dengan berjumpa Alang yang sudah lama tidak ketemu, ini permulaan cuti yang aneh. Alang menghadiahkan saya dengan sesuatu, sesuatu! Yang sungguh sangat hebat, datangnya jauh, dari Tanah Arab. Kiriman dari rakan Alang dari Arab Saudi. Bukan main. Sebetulnya Alang baru sahaja selesai bertemu dengan teman email Arabnya itu. Alang bawa mereka jalan-jalan hingga ke Genting. Hahaha, membawa teman Arab ke Kota Keriangan, aneh bukan. Hadiah Alang dari teman Arab itu, buatannya hebat dari tanah suci Karb. Dan saya ada 2 hadiah hebat, seutas tasbih dari tanah liat, ringkas, tapi hebat kerana buatannya dari tanah asli. Seolah-olah saya melihat tasbih yang dibuat sendiri oleh Sayidah Fatimah. Dan satu lagi hadiah yang saya tidak tahu mahu dipanggil apa ia. Hahaha, hebat cuti ini bukan main.

Old Car
Cerita Alang (A) saya dan teman Arab (TA).

A: I'm sorry, I'm only have this old car.
TA: It's OK, I'm searching for a good man not a good car.

It's Coming Back Again

Welcome back again and I'm on holiday! What a beautiful coincidence. My favorite will be the German and of course where Frank Ribery and Henry in: The Blues, my French men, France. Tonight, the opening, Swiss and Czech. Wanna guest who will be score the first goal? Let watch the great foot works together. Tonight, the opening night.

CJ7 - My Previu


Dalam kesibukan untuk kerja editing kertas-kertas kerja teknikal, amaran keras, diulang, amaran keras, sebarang aktiviti yang melibatkan gugatan mental dan emosi dilarang sama sekali. Dilarang sama sekali. Tapi kerana menjemput saranan seseorang yang memohon pandangan peribadi mengenai CJ7, saya terpanggil untuk menonton sekadar untuk melepas lelah duduk berteleku berjam-jam di hadapan skrin. Natijah: ia bukan langkah yang bijak.

CJ7 satu buah tangan luar dari jangkaan yang dihasilkan oleh Stephen Chow Sin Chee. Kalau mengharapkan sekuel filem humor, jangan mengharapkan dari cerita yang ini. Bersedialah untuk rasa terdera dengan gugahan emosi yang menggigit di beberapa adegan.

CJ7 sebenarnya sebuah cerita yang mudah dari segi naratif ceritanya. Tetapi menjadi sangat berat dengan elemen emosi yang dibuat sangat bersahaja dan indah. Tidak perlu kata-kata melankolik untuk menjemput rasa, sekadar ucapan biasa yang diluah hari-hari. Namun trademark Chow masih lagi ada, lakonan selamba meski untuk menggambarkan rasa; suka, gembira, sedih, pilu, dsb. Tidak perlu mengubah identiti untuk menunjuk rasa simpati.

Yang paling saya suka ialah skor muzik untuk CJ7. Satu-satunya filem yang mengubah runut bunyi sebahagian dari cerita itu sendiri. Satu-satunya filem yang tidak membuat saya menganalisa tentang bunyi. Seolah-olah skor muzik itu sendiri adalah cerita yang terbina dari dalam (kecuali satu dua tempat sahaja). Dan mungkin orang yang meminta saya menonton berpuas hati dengan reviu saya yang ini, dia memang benar tentang skor muzik CJ7.

CJ7, ceritanya mendokong nasihat saya untuk seseorang pada minggu-minggu terakhir ini. Kita tidak perlukan sesuatu untuk rasa bahagia. Kerana bahagia itu datang dari dalam. Kita sendiri yang membuat diri rasa bahagia. CJ7 mengajar betapa mudahnya rasa bahagia itu. Dimenifestasi dengan rasa lapang (meski di dalam kediaman yang sangat sempit), cukup, gelak tawa, juang untuk apa yang kita rasa berbaloi berjuang kerananya dan menghargai apa yang ada. Barangkali apa yang kita fikir yang boleh membuat kita bahagia, hadirnya nanti cuma seketika. Tapi yang benar, hakikat, dan sedia terhidang ialah apa-apa yang ada disekeliling yang dapat dicapai (tangible). Itulah graviti kebahagiaan dan rasa yang dalam. Hargailah, kerana kita sendiri tidak tahu berapa banyak lagi waktu yang tinggal.

CJ7, adalah filem untuk ditonton. Untuk sebuah cerita yang menerapkan teknologi tinggi dengan kehadiran emosi yang berat, saya secara peribadi amat suka. Kerana sehingga sekarang, ia masih menghantui. Dan secara peribadi, cerita-cerita (baik filem, novel, cerpen, puisi, visual) yang dapat menghantui saya, mempunyai nilai tersendiri dalam nubari.

Untuk kehampaan dalam filem Kingdom of Heaven, Spiderman 3, Spiderman, CJ7 adalah pengubatnya. Mujur saya tidak menontonnya di pawagam!

p/s: sesuai untuk bakal-bakal jurutera untuk menilai kehidupan mereka yang tidak mempunyai peluang seperti anda.

Ubah

Rasa, tidak mahu berprotokol di sini. Jadi ubah tema. Out Loud. Cerita aja apa-apa.