CJ7 satu buah tangan luar dari jangkaan yang dihasilkan oleh Stephen Chow Sin Chee. Kalau mengharapkan sekuel filem humor, jangan mengharapkan dari cerita yang ini. Bersedialah untuk rasa terdera dengan gugahan emosi yang menggigit di beberapa adegan.
CJ7 sebenarnya sebuah cerita yang mudah dari segi naratif ceritanya. Tetapi menjadi sangat berat dengan elemen emosi yang dibuat sangat bersahaja dan indah. Tidak perlu kata-kata melankolik untuk menjemput rasa, sekadar ucapan biasa yang diluah hari-hari. Namun trademark Chow masih lagi ada, lakonan selamba meski untuk menggambarkan rasa; suka, gembira, sedih, pilu, dsb. Tidak perlu mengubah identiti untuk menunjuk rasa simpati.
Yang paling saya suka ialah skor muzik untuk CJ7. Satu-satunya filem yang mengubah runut bunyi sebahagian dari cerita itu sendiri. Satu-satunya filem yang tidak membuat saya menganalisa tentang bunyi. Seolah-olah skor muzik itu sendiri adalah cerita yang terbina dari dalam (kecuali satu dua tempat sahaja). Dan mungkin orang yang meminta saya menonton berpuas hati dengan reviu saya yang ini, dia memang benar tentang skor muzik CJ7.
CJ7, ceritanya mendokong nasihat saya untuk seseorang pada minggu-minggu terakhir ini. Kita tidak perlukan sesuatu untuk rasa bahagia. Kerana bahagia itu datang dari dalam. Kita sendiri yang membuat diri rasa bahagia. CJ7 mengajar betapa mudahnya rasa bahagia itu. Dimenifestasi dengan rasa lapang (meski di dalam kediaman yang sangat sempit), cukup, gelak tawa, juang untuk apa yang kita rasa berbaloi berjuang kerananya dan menghargai apa yang ada. Barangkali apa yang kita fikir yang boleh membuat kita bahagia, hadirnya nanti cuma seketika. Tapi yang benar, hakikat, dan sedia terhidang ialah apa-apa yang ada disekeliling yang dapat dicapai (tangible). Itulah graviti kebahagiaan dan rasa yang dalam. Hargailah, kerana kita sendiri tidak tahu berapa banyak lagi waktu yang tinggal.
CJ7, adalah filem untuk ditonton. Untuk sebuah cerita yang menerapkan teknologi tinggi dengan kehadiran emosi yang berat, saya secara peribadi amat suka. Kerana sehingga sekarang, ia masih menghantui. Dan secara peribadi, cerita-cerita (baik filem, novel, cerpen, puisi, visual) yang dapat menghantui saya, mempunyai nilai tersendiri dalam nubari.
Untuk kehampaan dalam filem Kingdom of Heaven, Spiderman 3, Spiderman, CJ7 adalah pengubatnya. Mujur saya tidak menontonnya di pawagam!
p/s: sesuai untuk bakal-bakal jurutera untuk menilai kehidupan mereka yang tidak mempunyai peluang seperti anda.
No comments:
Post a Comment