Monday, August 24, 2020

Diari Seorang Siapa (?) : # 7 - 4

Aku masih seorang yang normal, walau pemikiran aku bukan seperti yang orang normal mahukan. Kalau nak tanya adakah aku masih tengok TV, ya, hanya yang noob sahaja kot tidak tertarik pada TV. Aku sangat suka rancangan The Voice dan betapa Tuhan telah menjadikan kepelbagaian walau hanya dalam satu segi sahaja, suara.
 
Itu yang menyebabkan aku terfikir, kepelbagaian itu ada di mana-mana, dan untuk aku itu adalah manifestasi keindahan. Tapi sekarang aku tak pasti, sebab orang lebih menghargai apa yang mereka mahukan dari kita. Yang mereka mahukan ialah tindakan yang mereka boleh jangka. Mereka mahu kita hidup sama seperti mereka, berfikir apa yang fikirkan dan jangan buat yang aneh-aneh.
 
Entah, aku jadi tidak tahu.
 
Sekian banyaknya orang bercakap mengenai kebajikan dan kasih sayang kepada orang kecil, di kaca TV. Kita menjadi sedar tentang itu, aku tahu, Tetapi untuk aku lihat seruan itu dijelmakan dalam kehidupan kita sehari-hari, aku masih tidak nampak lagi. Tahun ini, aku buat perubahan yang sedikit berbeza. Aku mula bercakap mengenai orang-orang kecil di sekeliling aku yang bijak pandai. Aku ajak mereka untuk mula berfikir dan bertindak ke daerah ini. Tahu apa yang aku dapat, pandangan aneh dan tidak faham. Mereka mula melihat aku sebagai orang asing.
 
Kawan-kawan aku adalah mereka yang berjenis pakai Accord, Camry, Mercedes, BMW dan aku memilih Kancil. Aku diajarkan bila aku memakai kasut Hush Puppies atau Jimmy Choo, aku tidak patut melihat orang yang pakai Croc pasar malam dengan perasaan yang dia tidak mampu pakai apa yang aku pakai. Tapi itu hanya pemikiran ideal bagi kita yang mahu melihat orang yang mahu melihat manusia lain dengan kesamarataan. Dunia ini orang tidak melihat seperti itu. Orang mahu melihat kita dipisahkan dengan kelas. Samada kau kelas bawah atau kau bangsawan.
 
Apa yang ada di sekeliling aku ialah budaya mahu menonjol, dan tonjolan itu mereka mahu perlihatkan dalam satu bentuk sahaja, pencapaian material. Atau bahasa mudahnya kekayaan.
 
Katalah seorang datang dan nasihatkan aku, zaman ini kita tidak perlu terikat sangat dengan sijil dan pencapaian sijil universiti. Banyak sudah orang yang tanpa sijil berjela tetapi berjaya dalam hidup. Bila aku tanyakan siapa, mereka jawab jawapan klise, Steve Job, Mark Zuckerberg, Bill Gates.
 
Aku katakana klise kerana masih tetap ukuran mereka adalah material dan kekayaan. Katalah mereka tidak kaya, adakah mereka akan disebut-sebut dalam senarai orang berjaya. Kelihatannya segi yang dibincangkan hanya satu aspek. Bukan yang lain-lain.
 
Aku hendak bertanya, apa yang mereka bawa membawa keseimbangan sebagai seorang manusia, dan juga menjadi dunia lebih baik atau kompetetif. Dunia jadi lebih kompetetif tidak syak, tetapi dalam bentuk yang harmoni? Aku tak pasti tentang itu.
 
Adakah kalau seorang ibu dan bapa berjaya mendidik anak-anak menjadi manusia berguna yang kenal Tuhan, kenal tanggungjawab pada diri keluarga dan mereka juga perhatikan masyarakat, itu dikira contoh yang tidak berjaya?
 
Masalah kita penilaian kejayaan itu tidak adil. Sebab dinilai dari sudut pandang manusia yang akan selalu berubah-ubah.
 
Aku tidak tahu kalau kita masih lagi boleh anggap Facebook yang dicipta oleh Zuckerberg itu satu ciptaan yang berjaya sedang kita tahu ramai suami isteri bercerai, kes rogol kerana diimtip setiap pergerakkan, pergaduhan antara sesama rakan, belum lagi dengan fitnah bertaraf boleh mengganggu gugat keselamatan Negara.
 

No comments: