Aku rasa ramai mahu berjujur diri. Mahu tunjukkan apa yang difikirkan jauh disudut hari menjeritkannya kuat-kuat pada semua benda yang menjengkelkan. Contoh, "apa gila harga gula naik. Semua harga nak naik harga, apa jadi pada orang yang tidak punya apa."
Mungkin kita mahu jeritkan dengan bahasa lebih haram dari apa yang aku tuliskan di atas. Tetapi tertahan. Apa yang menahan kau dan aku? Macam-macam bukan? Salah satunya adalah pandangan orang terhadap kemuliaan diri kau.
Tinggal lagi aku rasa aku mahu keluar dari wajah ala-ala jambu, dan menunjukkan wajah aku yang kelabu. Tetapi kau yang kenal aku, tetap akan rasa aku pengecut kerana menulis di tempat alter ego aku, bukan di tempat umum yang selalu aku tuliskan.
Kau, doakan sahajalah satu hari aku akan jadi berani.
Apa yang aku marahkan? Hakikatnya, semua. Termasuk diri sendiri yang tidak lebih berani.
Aku menyampah kepada orang yang menjaja-jaja untuk melihat dunia lebih baik, tapi menahan diri untuk bersedekah walau untuk belanja kepada kawan sendiri. Kau tak rasa menyampah?
Kau ada dengar gerai penjaja kecil yang dirobohkan? Kau pernah Nampak penjaja kecil yang cuba cari rezeki di hadapan stesen komuter, kemudian ditangkap oleh PBT dimasukkan dalam van dan barang jajaan mereka sekali? Atau orang yang tinggal di setinggan, yang rumah mereka dirobohkan sebelum mendapat ganti?
Semua benda itu benda yang dialami oleh orang kecil. yang mungkin kau tak pernah nampak, jika seumur hidup kau duduk dalam kereta mewah yang ada pemandu. Atau kau yang disibukkan dengan pemikiran untuk menukar kereta baru setiap dua tahun sekali. Yang cita-cita kau ialah untuk mempunyai kereta paling hebat yang orang lain tak ada di tempat kerja kau. Atau kau yang merasakan tidak gerek kalau naik kenderaan awam. Yang kau tidak pernah kenal bersusah-susah berebut tiket dan tempat, atau terpaksa berdiri berjam-jam sehingga kaki kau sakit dan lebam. Ya, tulisan ini bukan untuk kau.
Bila orang-orang kecil ini ditindas begitu rupa, siapa yang bangkit membela mereka? Ya betul, kau boleh menyampah juga kat aku sebab aku juga tidak pergi ke hadapan membela mereka. Tetapi at least, at least aku jeritkan di sini. Sebagai tanda benda-benda ini memang terkesan kat jiwa aku. Memang buat aku rasa nak melempang orang. Dan untuk aku, aku harap, ini rasa yang dapat aku simpankan sehingga aku jadi berani untuk jadi mereka yang di barisan hadapan.
Kau akan jadi sangat hairan, yang membela orang-orang kecil ini adalah orang yang tidak ada nama dan berkepentingan. Tetapi menyanggupkan diri menjadi perisai supaya kedaulatan kawasan orang-orang kecil ini tidak diusik.
Tapi kau tetap akan tahu, kalau aku tidak cerita pun kau sudah tahu pengakhirannya. Bahawa orang-orang kecil dan pembela mereka akan selalu di tempat orang yang kalah. Merekalah yang akan terus dihumban masuk dalam van/lori PBT atau dalam lokap atas alasan menghalang tugas atau ketenteraman awam. Mereka hanya mahu mendapatkan sesuap rezeki untuk kelangsungan hidup hari-hari, bukan mereka mahu naik Ferrari.
Yang aku marahkan ialah, aku mencari orang agama. Ustaz-ustaz yang keluar setiap pagi di rancangan Tanyalah Ustaz dan Ustazah-ustazah yang berbicara petah. Di mana mereka untuk menyuarakan ketidak adilan ini?
Kau akan cakap aku siapa kerana tiba-tiba nak lantang macam ni? Aku akan cakap ialah aku seorang manusia yang hidup dalam zaman serba merapu ini, yang baik dan buruk itu selalu bertukar-tukar dengan melihat kepada kuasa yang memegang bicara dan populariti. Aku tuliskan ini sebagai bukti sejarah yang mana aku sedang lalui, kau sedang lalui, dengan sikap kita yang berbeza-beza.
Dan aku tidak akan cakap bahawa aku telah buat sesuatu yang melayakkan aku menulis ini, aku cuma mahu tegaskan, aku mahu menulis sebagai rakaman sejarah. Zaman yang mana harga gula naik dan itu adalah cara ampuh untuk menghalang penyakit diabetes. Kan?
Aku belajar sejarah. Bahawa tamadun kita akan musnah, jika keadilan itu tidak tertegak dalam nilai semulajadinya. Dalam definisi keadilan yang sejati. Bila orang-orang kecil terus dipinggirkan atas nilai produktiviti, komersil, kemajuan dan kemodenan. Untuk itu orang-orang ini perlu mengungsi jauh dari kota, jika mereka perlu ada pun adalah sebagai buruh dan pelayan orang-orang kaya.
Kau tahu aku nampak apa?
Aku nampak penghambaan yang dilakukan oleh Firaun itu dihidupkan kembali, dengan cara paling keji. Tetapi kita menerimanya tanpa sedar apa-apa.
No comments:
Post a Comment