Friday, July 12, 2013

Diari Seorang Siapa (?) : Intro

Aku, memang mahu menulis. Dan terpulang kepada kau kalau mahu baca atau tidak. Ini kisah peribadi yang bukan mencari popular, bukan juga untuk menunjuk-nunjuk. Sekiranya kau teruskan baca, kau akan tahu aku menulis kerana mahu mengutuk. Jangan risau, aku tidak akan mengutuk kau, siapa aku untuk menilai orang lain.

Aku lebih mahu mengata diri sendiri kerana hanya dalam waktu usia ini, baharu aku nampak dunia yang lebih luas dari kotak pejabatku yang mampu memberikan semuanya, kecuali kepuasan. Aku tidak menjumpai selama ini, sehinggalah aku bergelar seorang sukarelawan.

Ramai berteka-teki mahu tahu aku siapa. Mereka kata aku lelaki yang mempunyai jiwa yang kadang-kadang penuh kelembutan. Ada yang kata aku perempuan yang mempunyai semangat dan perwatakkan kasar seperti lelaki. Gender untuk aku tidak penting. Kerana aku bukan feminis atau menyokong patriaki. Aku seorang hamba Tuhan yang pernah tersesat, dan masih mencari jalan. Dan minta maaf, aku cukup benci dengan dikriminasi. Dikriminasi dalam bentuk apa pun latar belakang, keturunan, warna kulit, ideologi, pencapaian akademik dan terutama sekali jantina. Kalau kau tidak bersetuju dan mahu menasihat, silakan. Berbincang dengan baik dan matang, mengumpat tidak diperlukan di sini.

Dalam diari kecil aku ini ada ruangan komen. Kau bebas untuk komen dan kritik. Lebih baik untuk kritik secara konstruktif, kerana ia akan menjadikan aku lebih baik, dan yang membaca lebih baik. Aku tidak mahu dikritik tanpa kau tunjukkan aku jalan keluar. Marilah kita jadi dewasa dengan diari kecil ini, itu sahaja harapan aku.

Kau dan aku sama, oh tidak, kita mungkin sama. Kita berasal dari daerah ego, dan kita mahu kembali kepada fitrah. Menjadi seorang individu yang sebenar-benar mengikut fitrah sebagai seorang manusia. Kenal fungsi sebagai seorang manusia, dan apa yang patut kita lakukan sebagai seorang manusia.

Aku sendiri bertanya apa yang aku buat ini. Seolah nanti akan ku telanjangkan keburukkan diri, masa silam yang kelam, cerita masyarakat yang putih dan hitam, mungkin cerita ahli politik, penguasa, cerita pertembungan ideologi, mazhab (?) dan apa sahaja yang tidak menyenangkan. Mungkin. Itu semua bergantung kepada stamina aku untuk menulis. Betul, menulis perlukan stamina. Itu juga bergantung kepada rezeki. Rezeki masa, kelapangan, kesihatan, kewarasan dan betul kata kau yang selalu kau ulang-ulang. Sejauh mana aku dapat mengubat penyakit M aku yang nyata itu, malas.

Kalau kau baca tulisan ini dan rasa tua, aku minta maaf.
Kalau kau baca tulisan ini penuh provokasi dan marah-marah, aku minta maaf.
Kalau kau baca tulisan ini seperti anak-anak belum baligh, aku minta maaf.
Kalau tulisan ini tidak cukup tinggi untuk kau, aku minta maaf.
Kalau tulisan ini tidak memberi makna, aku minta maaf.
Untuk apa-apa pun aku minta maaf.

Aku cuma mahu berkongsi. Pengalaman terlibat dalam kerja-kerja sukarela. Aku tidak ada tujuan lain melainkan mahu berkongsi. Apa yang kawan-kawan buat meski mereka masih muda, di luar yang aku boleh aku faham. Muda aku dulu tidak seperti mereka. Muda aku dulu jahil dan tidak peduli, muda aku dulu seperti tidak faham apa-apa, muda aku dulu kotak kecil yang terpencil. Yang aku peduli hanya pencapaian gred. Kerana aku percaya gred boleh menjamin kerja, tetapi aku tidak pernah tahu, gred tidak pernah menjamin bahagia.

Nah, kau akan tahu, tulisan ini benar akan membuka pekung dalam diri aku. Manusia kecil yang tidak tahu diuntung, tetapi aku harap jalan di hadapan itu tidak tertutup. Dan aku masih diberi peluang.

Nanti kau akan bertanya, badan apa yang aku sertai? Tidak perlulah aku besar-besarkan perkara, cukuplah aku beri informasi sedikit, kami memperjuang isu pendidikan bagi adik-adik yang terpinggir. Bukan kerja besar pun kami buat, menolong mereka agar boleh baca, tulis dan kira. Apa nak hebohkan?    

Aku tidak peduli banyak apa pandangan kau, pandangan orang. Yang aku tahu aku mendengar cerita kawan-kawan yang sama turun bekerja, cerita yang mustahil di terima dalam kepala hotak aku, tetapi berlaku. Masyarakat kita di negara indah permai yang setiap hari harga barangan naik, dan masyarakat kita yang tidak peduli pada orang sekeliling. Berlaku. Itu yang aku cerita, itu yang aku kongsikan.

Jangan risau, yang kau perlu nilai dan pandang adalah usaha kawan-kawan aku yang punya hati yang penuh dan penyayang. Kau tidak perlu pandang aku, kerana aku tidak lebih baik dari mereka. Aku hanya seorang pencatat diari, dan hari ini, aku mulakan catatan.  


1 comment:

Norziati Mohd Rosman said...

There is always a first time for everything