Tapi dalam nubari terlalu banyak rasa, dan kamu terlalu banyak kehilangan. Seperti hari ini, kita menyambut tahun pertama kehilangan kekanda kita bukan? Lalu, kalau boleh saya gantikan setiap kehilangan, maka saya akan gantikan. Tapi saya tidak boleh. Saya hanya punya tulisan, lalu saya bina PUA (Pesan Untuk Adik) kerana bila tiba masa saya pulang pula nanti, kamu, tidak akan kekurangan apa-apa.
Kamu Adik, perlu cinta guru sepenuhnya. Sepenuhnya. Dengan penuh rasa kasih. Dengan penuh rasa percaya. Dengan hati mahu berbakti. Dengan hati yang sedia untuk mati.
Dan kerana itu pertama, kenali dulu siapa guru kamu.
Guru kita, adalah Teacher of Teachers, Muallim, Wahdah Khairah Ummah - Rasulullah Muhammad sawa. Wujudnya bukti ihsan Tuhan kepada seluruh umat manusia.
Mustaffa Imamal Mursalin.
Mustaffa Shafiaal Alamin.
Abal Qasim. Khairul Khalqillahi. Ishqqu Qalb.
Guru yang muncul dari padang pasir yang tiada punya harapan dan sejarah yang dikenal sebelum wujudnya, yang mengubah dunia kepada yang terbaik, dan menjadikan kita ummah yang terbaik.
Dia, bersolat munajjat pada Tuhan pada ketika semua sedang nyenyak tidur di peraduan.
Dia, menahan lapar dan dahaga ketika lain enak menjamah rasa.
Dia, yang menangis sehingga bercucuran air mata ketika yang lain ketawa sehinggalah di akhir nafasnya.
Dia, yang hanya mengharap, agar ummah sejahtera dunia dan akhirat.
Dia, yang mengajar untuk berlaku adil dan istiqamah dalam kebaikan.
Dia, yang mendidik untuk memberi makan pada yang miskin dan kelaparan.
Dia, yang menebarkan belas ikhsan dan kebaikkan, derita dan pengorbanan, kasih sayang dan cinta. Yang mengajar cinta demi Cinta.
Adik, cintailah dia sungguh-sungguh dari jalurnya. Jangan sesekali kamu lepas dari berpaut dari tali penghubung. Moga Adik, kita berjumpa di telaga Kautsar bersama-sama dengan kekanda, sambil minum dari piala Nabi, kerana Nabi telah redha!
(Adik, masihkah kamu ingat kekanda pergi ketika ulangtahun Nabi? Tika kamu mengalirkan air mata sayu, sedekahkan Al Fatihah. Tunjukkan juga iba hati kerana kehilangan Guru, Nabi, Rasul, Imam dan perpanjangkanlah solawat ulang-berulang).
No comments:
Post a Comment