Sunday, December 28, 2008

Hormat Guru cara Kungfu Panda

Dalam kemelut krisis budi pelajar masa sekarang yang amat menakutkan, filem Kungfu Panda mungkin boleh menjadi sarana alternatif kepada teks dan syarahan. Krisis nilai yang melihatkan paparan pergaduhan guru dan murid di dalam kelas adalah sesuatu yang sangat mustahil berlaku beberapa dekad yang lalu, tetapi terpampang di dalam televisyen sejak akhir-akhir ini. Jadi, saranan saya, tontonkan kepada mereka Kungfu Panda. Ia filem mengajari kita untuk hormat pada guru.

Kungfu Panda adalah filem sarat falsafah yang dikarya dengan sangat santai bersulamkan kungfu dan karakter-karakter comel seperti panda, harimau, monyet, ular, kura-kura, harimau bintang, burung dan lain-lain lagi. Saya boleh senaraikan 10 pelajaran falsafah dari filem ini, tetapi yang terkesan di hati ialah bagaimana seni pertahanan diri oriental menitik beratkan kepercayaan kepada guru sebagai tonggak utama untuk mendapat kefahaman ilmu dan penghayatan makna.

Karakter yang menunjukkan hubungan guru anak murid boleh dilihat seperti rantaian berikut, Master Oogway – Master Shifu – Panda. Tetapi secara peribadi saya melihat hubungan antara Master Oogway dan Master Shifu, yang mengajari tentang akhlak kepada guru sebagai kerangka utama dalam menuntut ilmu. Sikap konsisten Master Shifu menurut setiap nasihat dan pesanan Master Oogway telah membuka banyak rahsia. Meski dalam beberapa keadaan, Master Shifu kelihatannya bercanggah pendapat dengan Master Oogway. Ini adalah disebabkan oleh belum sampai kefahaman dan makna. Walaupun begitu ia tidak menjadikan Master Shifu membelakangkan guru apatah lagi berlaku kurang ajar.

Ada 2 plot yang menyangga falsafah perguruan dalam filem ini.

Kesudahan yang sempurna bagi Master Shifu, dan Panda.
Kesudahan yang malang bagi Tai Lung.

Siapa Tai Lung? Tai Lung adalah anak murid pertama Master Shifu yang telah dilatih sempurna. Tetapi kerana ketamakan Tai Lung telah menjadikan dia kurang ajar dan menderhakai guru.

Siapa Panda? Panda ialah individu yang sangat ingin menjadi pelatih kungfu, tetapi fizikal dan latar belakang keluarga menjadikan dia tidak punya keyakinan. Tetapi kerana takdir, Panda telah dilantik menjadi Dragon Warrior dan secara automatik menjadi anak murid kepada Master Shifu.

Kedua-dua Tai Lung dan Panda adalah anak murid Master Shifu. Tetapi punya karakter berlainan. Satu tidak hormat guru, satu lagi iaitu Panda adalah karakter hormat guru. Kesudahan baik untuk Panda, kesudahan malang untuk Tai Lung. Tai Lung musnah kerana kurang ajar kepada guru dan tamak kepada sesuatu yang bukan miliknya.

Kesudahan untuk Master Shifu yang berpegang secara konsisten nasihat dan pesanan Master Oogway ialah dengan mendapat hadiah paling sempurna dalam dunia, iaitu, ketenangan fikiran. Dan hadiah terindah ini dicapai hanya dengan percaya. Percaya bahawa guru telah menunjukkan jalan terbaik kerana dia lebih tahu potensi dan kemampuan. Percaya bahawa guru telah mendidik dan mengeluarkan yang terindah dalam diri. Percaya dengan mempraktikkan ilmu dari sumber terpercaya ada kebaikkan dalamnya dan tiada penyesalan. Percaya untuk percaya. Bahawa keajaiban boleh berlaku hanya dengan percaya.

Saya sangat tertarik dengan dialog Master Shifu dan Tai Lung ketika mereka beradu tenaga.

Tai Lung: I rotted in jail for 20 years because of your weakness.
Shifu: Obeying your master is not weakness!

Ya, menurut kata guru bukan kelemahan, tetapi adalah kelebihan yang sarat mengandungi hikmah.

Saya sangat suka filem ini kerana banyak mengajari tentang etika menuntut ilmu. Boleh jadi kita menuntut ilmu secara formal, dengan menghadap diri kepada orang berilmu dan memohon dia mengajari. Boleh jadi kita meminta seseorang yang sangat hebat menjadi guru meski dalam keadaan begitu mustahil dia akan memilih, guru itu memilih kita. Boleh jadi dengan perbualan santai dengan orang lain, kita perolehi hikmah yang banyak. Meski bagaimana caranya sekalipun, dalam sedar atau tidak, kita telah menjadi seorang anak murid. Kerana itu adab sebagai murid perlu dijaga. Jangan sampai menderhaka dan melukakan hati guru kerana padahnya ada di hadapan yang kita tidak tahu. Jangan sampai guru tidak redha dengan ilmunya, nanti keberkatan tidak sampai dan menjadi seperti Tai Lung. Dimusnahkan kerana kecongakkan juga kerana derhaka pada guru.

Meski kita merasakan ilmu kita cukup banyak merentasi pelbagai bidang, tunduk sahaja seperti resmi padi. Kerana ketinggian ilmu syarat utamanya ialah ketinggian budi. Ketundukkan, merendah diri yang membezakan anda seorang ilmuan sebenar, atau cuplikan.

Dan yang paling asas dari segala yang asas, hormat guru. Kerana dia didatangkan Allah untuk kamu, menyampaikan ilmu dengan segenap keikhlasan, supaya kamu, menjadi insan lebih baik!

Saya sangat suka filem ini, bukan kerana falsafah menuntut ilmu sahaja, tetap sarat wacana kehidupan yang boleh dikutip sehingga ke akhirnya.

Thursday, December 25, 2008

Austalia - The Movie


That's right, I never been in Australia. But, Ive watched Australia. It is an amazing story! Saya menonton di MBO Galaxy Ampang. Teraju utama Nicole Kidman dan Hugh Jackman yang jarang mengecewakan. Diwujudkan latar outback sebelum perang dunia kedua. Ia sebuah filem dari awal dan akhirnya drama. Menggabungkan elemen sejarah Australia yang kaya, tentang stolen generaton. Generasi yang dicuri. Anak-anak yang lahir dari percampuran orang Barat dan pribumi/orang asli (aboriginal). Generasi ini adalah anak tak sah taraf, separuh kasta, yang mustahil menjadi orang kulit putih, mustahil juga menjadi orang kulit hitam. Menceritakan tentang pedih generasi yang dicuri ini lebih indah melalui sebuah cerita unik.
Cerita uniknya ialah cerita mengenai seorang tuan tanah, Miss Boss (Nicole Kidman) yang mencari jalan untuk bertemu suaminya di sebuah ladang milik mereka di Australia. Di tengah perjalanan Miss Boss ditemani penunjuk jalan, Drover (Hugh Jackman). Malangnya, hari pertama Miss Boss menjejak kaki di ladang, adalah hari kematian suaminya. Dan Miss Boss mewarisi ladang dengan sejumlah pekerja. Termasuk seorang kanak-kanak lelaki berumur lebih kurang 8-10 tahun bersama Nullah. Seorang anak kecil yang tergolong dari generasi yang dicuri. Pengembaraan Miss Boss bermula di sini. Dari seorang perempuan English golongan aristrolrat menjadi pewaris ladang di sebuah pedalaman Australia yang gersang, bagaimana rupanya?
Ya, ia cerita yang ada semuanya. Lucu, sedih, pilu, drama, adventur, perang, cinta dan menghargai asal usul. Cerita tentang orang asli, peribumi pemilik sah tanah Australia. Ya, peribumi juga punya cerita, dan cerita mereka adalah cerita yang kaya tentang pergantungan pada alam. Bahawa setiap alam punya ruh, punya keterikatan antara satu sama lain. Cerita tentang lagu, tentang mimpi, tentang cinta.
Nullah percaya bahawa dia ditakdirkan untuk menjadi seorang bomoh, kerana datuknya juga seorang bomoh. Seorang bomoh punya kuasa magis, memanggil alam untuk tunduk pada nyanyianya. Dan alam berbicara dengan mereka yang menghargainya. Tetapi Nullah adalah anak tidak sah taraf, jadi dia tidak punya tempat di mana-mana. Dan Miss Boss adalah tempat Nullah berteduh setelah kematian ibunya yang tragis. Seorang aristrokrat English menhadi ibu kepada seorang anak peribumi Australia.
Dalam cerita ini, Nullah mengulang-ulang. "Saya akan menyanyikan lagu agar Miss Boss datang kepada saya". Ia adalah senandung Nullah yang sangat magis. Kerana setiap kali, Miss Boss akan menjumpai jalan untuk pulang ke pangkuan Nullah.
Kata Drover, manusia perlu hidup sebaiknya, kerana tidak tinggal pada manusia harta, warisan, kekayaan, anak-anak kecuali satu, cerita. Kerana itu kita perlu hidup dengan baik untuk mewariskan cerita yang baik.
Kata sahabat Drover, dalam hati Drover tidak ada cinta, kerana itu dia tidak punya lagu, tidak punya mimpi, tidak mempunyai cerita. Hanya dengan cinta, manusia itu akan punya lagu, mimpi dan cerita.
Kata Nullah, pada manusia perlu ada cerita. Dan cerita ini perlu diceritakan. Terus menerus, turun temurun. Kerana hanya cerita dan bercerita, di dalamnya, anda mengulang nama-nama mereka yang anda sayang.
Saya tewas banyak kali di beberapa scene dalam cerita ini, Ia cerita sarat falsafah tetapi dicerita dengan ayat mudah. Ia ada lebih banyak cerita dalam Australia. Saya juga tidak mampu memberi reviu lengkap kerana Australia, adalah sebuah filem yang sarat. Sarat dengan cerita. Cerita menceritakan. Mungkin itu tema cerita ini.
Saya bersetuju dengan Nullah, dengan cerita dan bercerita, ada mereka yang anda sayang.
Orang yang bercerita adalah orang yang penuh kasih sayang.
Dan anda, don't you want to tell me a story?

Tuesday, December 9, 2008

Happy Feet dan Tanah Runtuh Bukit Antarabangsa

Happy Feet, perjalanan hidup anak penguin malang ini tidak se'happy' namanya. Saya sudah menonton cerita ini lama sudah, tapi mengulanginya beberapa kali dalam minggu ini. Dulu, saya tidak menganggap cerita ini wajib tonton, tetapi setelah kejadian bencana alam yang berlaku di seluruh Malaysia, juga di seluruh dunia, cerita Happy Feet adalah relevan. Ini adalah kerana cerita Happy Feet adalah cerita environmentalist, tentang kerakusan manusia dan kesannya pada alam.

Environmentalis dan 'go green' adalah 'in thing' sekarang di seluruh negara-negara maju. Di negara Perancis, Belanda, Swiss, German dan Jepun mengutamakan produk semulajadi dan mengamalkan konsep kitar semula. Berbanding negara kita, kesedaran kita masih di tahap pengenalan, belum mengamalkan, apatah lagi membudayakan.

Saya pernah diberitakan, seorang sarjana dari German, yang duduk di German sudah 10 tahun tidak membuang sampah. Sampah-sampah boleh lupus dijadikan baja kompos dan sampah tidak boleh lupus di kitar semula. Saya juga pernah berjumpa, sarjana yang mengumpul (harvest) air hujan, dia duduk di bandar besar di Shah Alam dan telah mengubahsuai rumah agar bumbung boleh mengumpul hujan untuk diguna semula. Seperti duduk di kampung bukan? Dapurnya diletakkan 4 tong sampah supaya sampah boleh disaring untuk memudahkan kitar semula. Fuh, sungguh komited.

Apa yang ada dalam cerita Happy Feet? Ia cerita anak penguin malang, kerana waktu kelahiran dia abnormal, dia telah menjadi anak penguin yang cacat. Cacat Happy Feet adalah kerana dia tidak mampu menyanyi, sedangkan semua penguin sejenisnya boleh menyanyi. Hanya dengan menyanyi dia boleh mencari teman hidupnya. Kerana kecacatan itu, Happy Feet dikurniakan kelebihan lain. Happy Feet mempunyai kelebihan melakukan tap dance / tarian tap. Iaitu sejenis tarian yang menggunakan kaki mengeluarkan bunyi mengikut rentak muzik. Tetapi oleh kerana masyarakat penguin tidak pernah melihat kelainan yang ini, Happy Feet telah dianggap sial oleh seluruh masyarakatnya, malah ibu dan bapanya sendiri.

Cerita Happy Feet tidak berakhir di situ. Disebalik kemelut peribadi, masyarakat penguin mengalami masalah paling besar dekad ini. Iaitu kekurangan ikan. Bermakna, survival mereka terjejas. Dan Happy Feet adalah hero kerana dialah watak yang menjejak apakah punca masalah mereka kekurangan ikan. Seperti cerita-cerita 3D yang lain, cerita Happy Feet happy ending kerana dia telah berjaya menyelamatkan semua penguin-penguin di kutub selatan.

Puncanya apa? Puncanya kerana ketamakan manusia yang menuai ikan (menangkap ikan) dalam skala yang begitu besar (sangat besar, jika anda menonton cerita ini, anda tentu tidak menyangka ada pukat yang dibuat sangat besar untuk mengaut ikan dengan sekali sauk) mengakibatkan rantai makanan tidak seimbang. Kerana kitaran makanan ini telah terjejas teruk, maka yang mendapat kesannya adalah penguin-penguin yang tidak disedari kewujudan mereka.

Apa yang dialami oleh Happy Feet dan masyarakatnya ada persamaan dengan apa yang berlaku di Bukit Antarabangsa Kuala Lumpur. Ya, Bukit Antarabangsa sudah punya sejarah yang panjang, dari Highland Tower lagi, namun apa pengajaran yang kita ambil setelah tragedi berdarah berlaku lama dulu, kini berulang lagi. Tetapi yang mengalir darah, adalah darah orang lain. Dan adakah kita perlu menyaksi darah lain tertumpah lagi di atas tanah yang sama? Tanah Bukit Antarabangsa sendiri menangis kerana terpaksa menunaikan tanggungjawabnya menjawab apa yang telah diperintahkan atasnya.

Sewaktu sebuah rumah orang kenamaan roboh (kerana tanah runtuh) pada tahun 2002 di Hill View saya berjalan kaki ke sana tetapi tidak mendapat akses. Kali ini di Bukit Antarabangsa saya belum mencuba lagi untuk turut serta menyaksi kecuali dari dalam TV (ermm, saya perlu cari jalan untuk dapat akses ke tempat bencana). Tetapi walau apa pun kejadiaannya, kesamaannya satu. Seperti dalam cerita Happy Feet, keseimbangan telah diusik, rantaiannya tidak stabil, maka kecelakaanlah yang berlaku.

Dalam Berita Harian hari ini, seperti dilaporkan oleh Prof Roslan Zainal Abidin dan Prof Ibrahim Komoo, tanah tinggi yang dibangunkan adalah terdedah kepada risiko tanah runtuh. Untuk satu-satu kes tanah runtuh di luar negara, hujan tahunan sebanyak 1500mm sudah cukup untuk membolehkan tanah digerakkan dan akhirnya berlaku tanah runtuh. Mungkin kita ramai tidak tahu, di Malaysia hujan tahunan kita adalah lebih dari 3000mm setahun. Bermaksud, risiko tanah runtuh adalah ganda dua.

Sebelum ini mengapa jarang sekali kedengaran tanah runtuh? Kerana tanah tinggi kita tidak diusik. Pokok-pokok yang hidup subur di atas bukit adalah sebagai shield (perisai). Pokok boleh menyerap air. Akarnya menjadi anchor (pasak) untuk terus memegang tanah dari bergerak. Sistem ini adalah sistem semulajadi, yang mustahil manusia dapat men'duplicate' (pendua). Sementelah lagi, dengan keadaan pemanasan global, para saintis sendiri tidak dapat menduga apakah pola cuaca yang sedang berlaku. Jika pola hujan dan cuaca tidak boleh dikira dan dicatatkan, maka kita tidak boleh membuat agakan (prediction) apa yang akan berlaku selanjutnya. Jadi risiko manusia dan bencana alam adalah berlipat-lipat kali ganda.

Tidak seperti Happy Feet, pengakhiran ceritanya adalah pengakhiran yang gembira (happy ending), di Bukit Antarabangsa, kita tidak tahu lagi. Happy Feet menceritakan manusia berubah, dan membuat sesuatu untuk membolehkan kitaran alam semulajadi kembali seperti sediakala. Seperti melarang menangkap ikan di kawasan kutub.

Kita di Bukit Antarabangsa dan Bukit-bukit yang lain, akan adakah tangan yang akan mengembalikan kitaran semulajadi kekal di tempat asalnya?

Jika dia boleh bersuara, tanah di Bukit Antarabangsa akan berkata yang dia sudah cukup derita untuk mencatat cerita berdarah lagi.

Jangan salahkan yang lain. Kita semua berperanan. Dan bukan sekarang kita diperingatkan, bukan juga sewaktu di Highland Tower dulu, juga bukan di Pos Dipang, Bukit Lanjan dan lain-lain lagi. Lama sebelum, sebelum kita mengenal perkataan bencana lagi, di dalam Quran 1400 tahun lalu, Rasul berpesan dengan kalam Allah begini,

'telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)' - Surah 30 Ayat 41.

Happy Feet, bencananya di laut.
Bukit Antarabangsa di darat.

Satu ilusi pengkarya filem.
Satu lagi hakikat yang dipertontonkan terus dari Maha Pengkarya.

Dari apa yang dibacakan dari Al Quran, satu soalan, sudahkah kita...insaf?