Wednesday, August 14, 2013

Diari Seorang Siapa (?): #5 - 3

Aku check catatan aku ni, ada seorang dua dah komen. Salah seorangnya Harith. Hi Harith. Selamat kenal, nanti aku balas komen kau eh, ada benda dalam kepala aku selepas raya ni yang buat aku nak tulis. Belum sempat, hari ni baru sempat (Perdana Menteri ke sibuk sangat?)


Masa raya baru ni CJ7 bagi aku mesej dalam telefon, “jangan lupa tengok filem Di Bawah Lindungan Kaabah”. CJ7 siap bagi detail, ditayangkan di Astro Oasis, dan bila filem itu ditayangkan.


Memandangkan aku bukan kaki jalan sangat, aku cuba untuk menonton. Tetapi selalu tak sempat nak tengok semua sebab kena layan tetamu dan anak-anak buah. Aku sebenarnya tak faham tujuan CJ7. Sebab bila aku tengok cerita tu pun, rasa macam tak masuk. Aku cuba nak hayati, tetapi rasa macam tak ngam je dengan kehidupan realiti anak muda macam aku.


Sedikit yang boleh aku faham pasal cerita ni ialah, kisahnya berlaku zaman tahun 1920-an di sebuah perkampungan yang memegang kuat kepada adat istiadat Minangkabau. Kisah cinta sebenarnya antara Hamid dan Zainab, yang bagi aku terlalu ideal dan melankolik. Sampai aku bertanya, boleh ada ke kisah cinta sedalam itu?


Melankolik macam tak ada beza juga dengan filem-filem Melayu tempatan sekarang yang begitu murah air matanya macam Ombak Rindu, Budak Setan dan seangkatan. Tapi ada rasa lain dalam cerita DLK ini, kisah cintanya bermaruah dan tinggi nilainya.


Cuma, semakin aku tengok, tapi memang aku tak dapat apa yang CJ7 nak aku dapat (aku rasalah).


Tapi takkanlah CJ7 sempat nak bagi sms masa raya-raya macam ni kan, kalau cerita tu tak penting. Ataupun CJ7 cuma nak tunjukkan aku pilihan lain yang ada selain dari cerita-cerita raya yang berkualiti rendah (cerita hantu dan cerita-cerita cinta penuh konflik domestik).


Aku pun pergi google untuk dapatkan sedikit latar belakang dari cerita ni. Dalam merayau-rayau, aku baca blog CJ7. Rupanya dia dah buat reviu filem ni. Aku letak kat sinilah, supaya kau pun boleh baca.


Aku kena warning, bapok panjang entri CJ7 ni. Kena bersabar baca, tidak perlu baca sekaligus, pelan-pelan kayuh pun tak apa.


Di Bawah Lindungan Kaabah (DLK), sebuah karya dari sasterawan besar Indonesia, Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenali dengan nama Pak HAMKA. Saya masih ingat namanya yang saya hafal bersungguh-sungguh untuk menjawab soalan peperiksaan kertas agama. Pada waktu itu saya tidak pernah tahu, beliau adalah seorang ulama yang menulis karya roman dan sastera. Pak HAMKA yang dikenali adalah seorang ulama yang menulis tafsir Al Quran dalam bahasa Melayu.

Saya tonton DLK yang telah diangkat menjadi karya filem disiarkan di Astro OASIS waktu raya ini. Menonton dua kali waktu raya ini, pernah sekali lama dulu (mungkin tahun lepas). Menonton tiga kali, tetapi tidak pernah dapat menonton dengan lengkap. Reviu filem yang boleh dibaca di banyak tempat, saya mencadangkan membaca di sini http://seindahduniakita.blogspot.com/2011/12/review-cinta-dan-restu-ibu-bapa-di_23.html.

Tidak syak lagi ini adalah kisah cinta. Untuk saya, cinta yang bermartabat tinggi, terasa masuk menusuk dalam jiwa. Semua penderitaan yang ditanggung oleh Hamid dan Zainab yang menghadapi badai taufannya dengan tabah.

Perlu diingat, reviu ini semata dibuat berdasarkan filem yang saya tonton hanya ¾ dari keseluruhan filem. Meski saya pernah membaca versi novelnya, tetapi sungguh saya sudah lupa. Saya akan sorot dari dua sudut 1) keunggulan wanita 2) kaedah hukum agama dan masyarakat.

Jika ramai memusatkan sentralnya kepada kisah Zainab dan Hamid, saya melihat karya filem ini lebih besar dari itu. Cerita ini bukan hanya bermaksud untuk menghantarkan kita merasai latar kehidupan tahun 1920-an, tetapi merentasi zaman dan masa. Kisah yang dihantarkan sejagat dan universal, sangat bertepatan dengan situasi zaman kita pada masa ini. Bila mana media, media sosial memainkan sentimen sensitif tanpa membuat pertimbangan yang wajar, apabila kita terkesan dengan usikan mainan bangsa, malah agama. Lebih buruk dari itu kita yang kurang ilmu juga mahu terlibat dalam memberi hukum dan menghukum.

Sebelum itu, di mata saya DLK sentralnya berpusat kepada wanita. Ada nuansa feminisme di situ, kelihatan Pak HAMKA ternyata melawan arus. Tahun 1920-an di mana golongan wanita tidak begitu dipedulikan, dilihat sebagai warga kelas kedua (mungkin tidak berkelas), pendapat dan keinginan wanita jarang-jarang sekali diperhatikan dan diambil berat, peranan wanita dalam masyarakat yang tidak diperkatakan kerana dilihat sebagai pengurus rumahtangga. Tetapi dalam filem ini, semua kontra semua itu dimasukkan dalam mise-en-sense sehingga saya merasakan wanita itu sangat tinggi kedudukannya.

Saya sebutkan citra wanita unggul melalui watak-watak berikut:

1. Ibu Hamid

Bagaimana Ibu Hamid menghadapi situasi provokasi dari masyarakat yang mahukan Hamid dihadapkan ke pengadilan untuk kesalahan yang tidak dilakukan. Hamid dituduh menceroboh (menyentuh) Zainab secara tidak patut. Perlu saya terangkan di sini, Hamid sebenarnya menyelamatkan Zainab dari mati lemas. Pada waktu itu Zainab sudah terbenam masuk ke dalam sungai dengan diperhatikan oleh ramai lelaki-lelaki masyarakat desa yang hanya berdiri terpaku tidak buat apa-apa, termasuk bakal calon suami Zainab iaitu Ariffin. Hamid yang turut berada di situ tanpa teragak terjun dan menyelam mencari Zainab yang lemas. Meski Zainab dapat dibawa ke tebing, Zainab masih tidak bernafas. Hamid telah melakukan kaedah menyelamat CPR dari mulut ke mulut yang mana situasi inilah yang mengheret Hamid ke mahkamah pengadilan masyarakat yang dihakimi oleh para tetua (orang-orang tua).

Ketika orang-orang kampung membawa obor dan menjerit-jerit ke arah Hamid di hadapan surau, ibu Hamid tetap menegakkan kepalanya penuh berani. Ibu Hamid menatang setiap wajah yang menghukum Hamid lebih dahulu daripada dibicarakan. Ibu Hamid malah meniupkan kata-kata semangat yang menyuruhnya mara untuk berhadapan dalam perbicaraan. Kerana ibunya percaya Hamid tidak bersalah, kerana seorang ibu mengenali anaknya yang diasuh dengan adat budaya dan agama.

Kebijakkan Ibu Hamid juga terlihat dengan kesungguhan beliau menambung dengan membeli emas berdikit-dikit. Walau hanya menjadi pembantu kepada keluarga Engku Jaafar, duit yang diperolehi disimpan dalam bentuk emas yang akhirnya membolehkan Hamid pergi Haji dengan emas yang ditinggalkan oleh arwah ibu.

2. Zainab

Zainab seorang wanita terpelajar yang menyedari wujud dirinya. Dalam aspek kesedaran individual ini saya terjemahkan dengan keinginan Zainab untuk mengahwini lelaki yang Zainab cintai dan mencintainya. Lain-lain dari itu Zainab adalah perempuan yang sedar tanggungjawab, melaksanakan tugas yang diberikan oleh ayahnya, Engku Jaafar, mempelajari selok belok perniagaan, terlibat langsung dalam menjayakan perniagaan keluarga, sangat taat keluarga. Zainab juga dilihat sebagai wanita penentang dalam diam, dengan mempertaruhkan derita dirinya demi untuk dilihat melawan atau tidak hormat kepada kedua orang tua, terutamanya ibunya sendiri. Zainab mempercayakan dirinya kepada takdir, tetapi tidak menyerahkan hidupnya kepada keputusan manusia. Perkara ini saya simpulkan ketika Hamid diminta untuk memberi nasihat kepada Zainab supaya setuju kepada jodoh pilihan keluarga. Jawab Zainab dengan sepenuh yakin di hadapan wajah Hamid,

“Allahlah yang menentukan hidup kita.”

Ketegasan suara Zainab memberikan mesej bukan penyerahan, tetapi mesej subtle supaya mereka berdua (Hamid dan Zainab) sungguh-sungguh berusaha untuk mencapai cita-cita yang ada dalam kehendak diri dan jiwa.

3. Ibu Zainab

Ternyata Ibu Zainab adalah seorang wanita bangsawan yang tinggi nilai, penjaga adab dan budaya, tegas di mana perlu bertegas. Walau ada di beberapa tempat yang dilihat ibu Zainab seolah tidak berjujur dalam perkataan tetapi niatnya baik. Untuk memberikan yang terbaik untuk Zainab. Yang bangsawan perlu diduduk dan sama berdirikan dengan bangsawan, bukan orang biasa-biasa seperti Hamid yang diasuh oleh Engku Jaafar. Darah Hamid adalah darah orang biasa, masakah pipit dapat terbang dengan enggang.

Begitupun jika kita merasakan tindakan Ibu Zainab seperti tidak patut, tetapi itulah juga yang ramai ibu-ibu di luar sana akan lakukan. Untuk melangsungkan kebaikkan untuk anak-anak. Kasih Ibu Zainab yang begitu melimpah, dilihat dengan gesture yang tidak lokek, seperti memeluk anaknya yang begitu parah menahan derita jiwa.

Tetapi bukan itu sahaja nuansa feminisme yang ada. Juga terdapat dalam ayat Hamid ketika berdebat dan berbalas hujah dalam satu pertandingan. Kata Hamid,

Inilah harkat perempuan mulia dan bermartabat,
dengan lima sifat utama.
benar, jujur, pandai, fasih terdidik, dan bersifat malu.
kepada merekalah kasih sayang kita,
kasih kita seharusnya berada.

Selain dari pengangkatan martabat wanita begitu rupa, saya terkesan dengan skena ketika Hamid dihadapkan di muka pengadilan. Orang-orang tua yang terhormat sebagai ahli dalam sidang, juga pada masa yang sama Engku Jaafar juga dipanggil dalam majlis. Lebih adil daripada itu, Hamid juga dipanggil ketika pertuduhan disebut di hadapannya.


Ketika mereka semua menyalahkan Hamid atas perbuatannya yang menyalahi adat dan agama, tetua masih bertanyakan Engku Jaafar, sebagai seorang bapa apakah perasaannya?
Engku Jaafar menjawab, “sebagai seorang bapa saya berdoa kepada Allah, Ya Allah, selamatkanlah Zainab. Dan doa saya dimakbulkan melalui Hamid.”

Begitu rasional Engku Jaafar mengatasi sentimen adat. Begitu saya melihat orang berilmu, beragama, terpelajar, berpengalaman dan rasional akan bertindak seperti Engku Jaafar. Dalam waktu-waktu mendesak yang haram juga boleh dihukumkan halal jika mudarat dan darurat. Keadaan Hamid pada waktu itu ialah berhadapan dengan seorang manusia yang sudah lemas dan tidak bernafas. Yang sudah dipastikan nadi yang tidak memberi respon. Bantuan terakhir ialah melakukan CPR. Hakikatnya, pada waktu itu ramai lelaki yang menyaksi Zainab yang terlantar, tetapi mereka hanya berdiri dan melihat. Termasuk bapa Zainab sendiri, Engku Jaafar, orang-orang tua masyarakat desa dan orang-orang ramai lainnya.

Mari kembali kepada skena penghakiman orang-orang tua kepada Hamid. Setelah Engku Jaafar menjawab demikian, para tetua pun menjadi keliru dan buntu. Tetapi keputusan mesti dibuat, kerana masyarakat menuntut penghukuman.

Sebelum hukuman diputuskan, Hamid menunggu dengan sabar. Sehingga tetua tidak lagi berucap, Hamid dengan takzim meminta izin untuk bercakap. Hamid yang begitu tunduk dan hormatnya pada orang tua berbicara (tidak mengikut ayat filem sebenar), “saya dibesarkan oleh ayah dan ibu dengan ilmu agama. Juga saya belajar dari surau ini dan juga dari tetua. Apa pun keputusan, saya menerima dengan terbuka.”

Hukuman pun dibacakan seperti berikut, “kami tidak dapat memutuskan samada perbuatan ini salah atau tidak salah, tetapi demi menjaga kemaslahatan umum, Hamid dihukum keluar dari kampung.”

Analisa saya seperti berikut:

1. Perbicaraan menemui jalan buntu kerana kes seperti itu tidak pernah berlaku sebelum ini di kampung mereka. Meski perbuatan Hamid dilihat sebagai amat mencolok, tetapi ia telah menyelamatkan nyawa manusia di saat orang lain hanya terpaku berdiri tidak mampu berbuat apa-apa.

2. Tetua tidak dapat berbuat keputusan berdasarkan kaedah qias kerana tidak ada rujukan kes sebelum kejadian Hamid dan Zainab. Saya juga berpendapat, bahawa mereka juga tidak mempunyai ilmu tentangnya.

3. Keputusan dibuat berdasarkan jumhur (keputusan sepakat) para tetua dengan mengambil kira kemaslahatan umum. Untuk menjaga keharmonian kampung, bila masyarakat majoriti merasa marah terhadap perbuatan Hamid.

Satu bentuk ketidakadilan yang dijatuhkan kepada Hamid ialah, bila keputusan diumumkan kepada masyarakat bahawa Hamid perlu keluar dari kampung, yang memberi hukum tidak memberi tahu yang Hamid sebenarnya tidak dapat diputuskan sebagai bersalah. Hamid perlu keluar kerana untuk menjaga kestabilan terhadap sentimen masyarakat yang sudah pun lebih awal menghukum. Yang diumumkan hanya keputusan kehakiman, tetapi tidak diumumkan bahawa Hamid boleh jadi tidak bersalah dalam kes ini.

Saya merasa sepi dan terbuang Hamid. Tetapi kata-kata Ibu Hamid lebih besar di bawa bekal berjalan dan berkelana dalam terbuang, “di saat kita rasa berseorang, kita tidak pernah seorang, kerana Allah selalu bersama.”

Sepi dan terbuang Hamid rupanya bukan apa-apa pada dirinya, bila Hamid berbicara dengan Zainab di balik dinding, “untuk melewati badai kita harus terus berjalan bukan terus berhenti. Dan untuk terus berjalan, hanya dua hal yang harus kita bawa; keyakinan dan cinta.”

Pemerhatian dan pendapat saya mengenai hal ini:

1. Dalam kes ini ini, keputusan yang diambil oleh para tetua begitu teliti dan tepat, walau mungkin tidak paling tepat. Tepat kerana ia berjaya menstabilkan masyarakat. Tidak begitu tepat kerana penghukuman itu tidak memberi keadilan kepada Hamid.

2. Betapa pemelukan kita kepada kelas sosial amat merugikan. Pembezaan kelas sosial ini tidak berlaku di zaman Pak Hamka sahaja, tetapi berlangsung terus dari zaman dulu sehingga sekarang. Seperti analisa yang lebih terperinci pernah dibuat oleh tokoh sosiolog Ali Shariati. Samada kita sedar atau tidak, itulah yang berlaku. Kerana itu orang-orang biasa yang mahu meninggikan kedudukan kelasnya berbuat di luar kemampuan. Seperti perlu memilik kereta mewah dan pakaian berjenama, kerana hanya itu di pandang masyarakat.

3. Apa kurangnya Hamid? Pelajaran yang diterimanya telah melayakkan Hamid menjadi sekufu kepada Zainab, tetapi culture die hard. Hamid tidak punya gelar Engku di hadapan namanya.

Saya termenung panjang memahami filem ini. Sudah tentu lebih adil jika saya kembali menguliti novel Pak Hamka, tetapi novel yang ini tidak ada dalam simpanan saya. Mesej Pak Hamka begitu relevan pada saat sentimen bangsa dan pertembungan budaya berlainan bangsa berlaku hari ini di negara kita. Juga sentimen agama yang dimainkan dengan cara tidak berhikmah, akan menyebabkan berlaku ketegangan yang tidak perlu.

Kata rakan saya, hukum itu boleh berubah. Seperti kahwin, ada waktu ia jadi wajib, sunnat dan ada waktu-waktunya menjadi haram. Walaupun esensi perkahwinan itu sangat baik iaitu untuk melestari manusia generasi demi generasi.

Sama juga hukum makan babi. Hukum asalnya haram sepanjang waktu dan tidak kira tempat, tetapi jika berlaku mudhorat dan darurat, hukum haram makan daging babi menjadi harus, jika hanya itu yang tinggal untuk kelangsungan sebuah kehidupan.

Saya terkenangkan Nabi. Andai baginda ada, baginda akan menyelesaikan masalah ummat dalam waktu segera. Tetapi orang-orang tua dan agama kita tidak begitu menghayati sunnah yang dibawa Nabi. Mungkin kerana itu di zaman Nabi perkahwinan antara Zainab (bangsawan) dan Zaid (bekas budak) dilangsungkan. Bahawa dalam Islam kasta itu tidak pernah ada. Kelas sosial itu hanya wujud dalam minda kita, tetapi tidak wujud dalam bentuk secara fizikal dan zahir.

Kerana itu di zaman Nabi, baginda tetap melantik Bilal seorang yang punya kelas sosial paling rendah dan hina, menjadi penolong baginda. Menjadi suara yang memanggil ummat untuk menunaikan solat. Bilal yang hitam dan bekas hamba. Bilal, seorang Bilal juga mendapat tempat di hati Nabi.

Dan siapa kita untuk membezakan manusia?

Filem ini mendapat tempat istimewa dalam hati saya kerana ia menampilkan citra yang menampilkan wanita itu juga perlu dinilai mempunyai identiti dan individualiti. Masyarakat tidak boleh melihat wanita sebagai alat, soulless dan tidak perlu dihormati. Wanita itu juga punya tempat.

Sepertimana Allah memberi tempat kepada Siti Hajar di sisi Kaabahnya yang mulia, iaitu di Hajar Ismail (juga disebut orang sebagai Hijir Ismail). Seperti mana Allah memberi tempat pada Siti Hajar dengan sunnahnya yang diulang 7 kali iaitu dari Safa ke Marwah. Dan setiap kali niat Umrah dan Haji dimulakan. Begitu Allah memberi tempat kepada Siti Hajar, bilamana pemilik air zam-zam itu adalah Siti Hajar. Bila kaum-kaum yang bermusafir (suku Jurhum) meminta izin kepada Siti Hajar untuk mendapatkan air dari telaga zam-zam. Jika Siti Hajar bukan pemiliknya, kenapa mereka perlu meminta izin? Dan kita inilah yang menagih air zam-zam setiap kali tiba di Mekah dan Madinah namun sikit sekali kita mengenangkan Bonda (Siti Hajar) yang seorang ini.

Saya menjadi terus termenung panjang, bila pagi tadi melihat rakaman seorang lelaki (suami) memukul (belasah) isteri di dalam lif, di hadapan dua anaknya yang masih kecil dengan perlakuan seorang (seekor) binatang! Dan jika Nabi ada, akan saya adukan kepada baginda, beginilah kaum yang lemah fizikalnya diperlakukan! Tidak ada beza seperti zaman sebelum ketibaan baginda, zaman masyarakat yang jahil pemahaman agama monotheism yang dibawa Nabi Ibrahim dan penerus kenabian sehinggalah Rasulullah sawa.

Pada mereka yang faham, jika wanita itu benar dididik, diiktiraf wujud, individu dan karakter, serta pengiktirafan kemampuan intelektual yang mampu setara dengan lelaki, masyarakat lebih terjaga dan ditarbiah.

Pada mereka yang faham, wanita (sebagai Bonda dan Isteri) adalah tempat permulaan polisi kemasyarakatan, akhlak, sahsiah, pelestari budaya dan agama, serta boleh jadi juga tempat bermulanya model ekonomi yang mapan.

Di Bawah Lindungan Kaabah, mengikut kritik yang lain tidak begitu vokal nuansa feminismenya berbanding Perempuan Berkalung Sorban. Sayang sekali saya belum berkesempatan menonton.

Saya membayangkan, sutradara Malaysia dapat membikin filem seperti DLK yang begitu berakar dan sentral mesej agama, bukan hanya sekadar tempelen. Menyentuh soal sosial yang lebih membawa kita kepada faham agama, bukan terhad kepada hubungan vertikal kepada Tuhan. Kerana jalan agama itu mempunyai dua dimensi, vertikal dan horizontal, tertinggal salah satunya, kita tidak lengkap sebagai hamba, dan hari ini saya percaya, kita tidak akan lengkap sebagai manusia!

Saya membayangkan jika Hamid dan Zainab dapat disatukan, bagaimana generasi yang lahir daripada mereka? Adakah mereka dapat menipiskan garis pemisah kelas sosial dan kasta?

Kudos kepada pembikin filem, begitu pun penceritaan cintanya begitu melankolik, ia dilihat sangat-sangat bermaruah dan tinggi tingkatannya berbanding mana-mana cerita cinta filem dan drama Melayu (sorry to say).


Saya merasa derita Zainab dan Hamid disegenap urat, pembuluh darah sehingga menikam ngilu sukma dalam dada.


Saya merasa ngilu Hamid mengadu dan berdoa, memegang dinding Kaabah di Multazam kerana besarnya pengharapan, permohonan ampun dan pengertian seorang hamba kepada TuhanNya.



Aku rasa macam nak pitam baca. Maksudnya aku kena tunggu next tayangan filem ini untuk buat aku faham apa yang CJ7 tulis ni. Tak kira, kena tengok juga! Tapi ermmm, aku tidak pernah terfikir pun begitu dekat kedudukan wanita di sisi Allah.

Thursday, August 1, 2013

Diari Seorang Siapa (?) : #5 - 2

Aku meninggalkan bilik CJ7 dengan janji aku akan menulis sekarang, tidak akan bertangguh lagi.

Sepanjang jalan otak ligat berfikir. Kau rasa macamana? Perlukah aku jadi pemikir sekarang sedangkan aku muda lagi. Aku masih nak tengok cerita Korea, aku nak main game Dota, Winning Eleven, Grand Theft Auto, Candy Crush (macam game untuk pompuan je), banyak lagi aku belum main. Aku nak pergi shopping, leisure sepanjang hari setiap minggu. Aku nak pergi tengok wayang dan berdating. Maklumlah orang bujang tengah naik ni.

Macamana?

Sebelum-sebelum ni pun aku dah sembang dengan CJ7. Ingat tak bila aku cakap pasal pembahagian umur manusia, kanak-kanak dan orang dewasa?

CJ7 kata, antara salah faham kita bila ada perkataan 'remaja' yang dicanangkan dalam masyarakat. Sebab ramai yang dalam usia ni akan fikir mereka muda dan boleh lari dari fikir tentang tanggungjawab. Padahal mereka sudah bertanggungjawab pada diri masing-masing.

Aku ingat CJ7 kata apa, "awak ingat kalau apa-apa berlaku pada awak sekarang, awak tidak akan disoal di alam kubur? Awak rasa adik-adik yang umur 15-17 tahun tu mati, mereka takkan ditanya?"

Sudah, jadi angker pula CJ7 ni! Dia masih muda, serius masih dalam kategori belia, tapi fikiran jauh matang ke depan. Orang kata, bijaksana. Aku rasa dia bijak 'sana' dan sini.

Tapi satu soalan epik yang masih berlegar dalam kotak fikiran aku bila CJ7 memasukkan soalan provokasi, "kenapa Tuhan itu ditakuti?"

Kemudian dia soal lagi, "kenapa awak perlu takut Tuhan?"

Pergh, CJ7 ni aku rasa makhluk enigma penuh misteri kadang-kadang. Selalu jadi angker, lepas tu misteri. Tapi penerangan dia lepas tu, kalah ustaz ustazah yang pernah aku dengar. Sangat mencerahkan.

Aku ingat aku jawab, "saya takut sebab hasil dari pembelajaran lalu. Ustaz ustazah ajar kat kelas macam tu. Antara ciri orang beriman, dia takut Tuhan."

Mata CJ7 bertukar menjadi pandangan yang sangat tajam. Bila mata CJ7 ditajamkan, aku tahu ada peluru yang hendak dikeluarkan.

"Tuhan itu ditakuti kerana keadilanNya. Dia Maha Adil."

Sudah bahasa planet apa pula CJ7 pakai, aku jadi tak faham. "Saya tidak berapa faham."

"Tuhan itu ditakuti kerana Dia Adil. Dengan maksud, kalau awak buat jahat, confirm akan dibalas dengan hukuman setimpal. Confirm dibalas!" Perkataan confirm tu ditekankan kuat-kuat.

"Kerana balasan itu nyata, sebab itulah kita takut padaNya. Kalau kita tak ada salah, kenapa kita mesti dekati Tuhan dengan rasa takut? Saya lebih suka dekati Tuhan dengan kasih sayang, sepenuh Cinta. Sebab hanya Dia, yang beri saya macam-macam tanpa agenda tersembunyi. Mendekati Tuhan dengan Cinta menyebabkan awak akan patuh arahan dengan gembira, dan sentiasa akan buat yang terbaik. Hanya cinta yang akan buat awak tidak kenal penat."

Muka CJ7 macam dalam blues je kalau sebut pasal cinta. Muka orang mabuk bercinta. Pipi CJ7 jadi merah bila menyebut tentang Dia yang dicinta.

Pergghhh. Memang CJ7 ni enigma.

"Samada awak sedar atau tak, awak sekarang ni telah diberi satu alat paling berkuasa dari Tuhan, iaitu, freewill, atau kebebasan memilih. Saya bagi satu contoh, katalah saya letak makanan atas ni."

Tiba-tiba CJ7 buka laci dan mengeluarkan sekotak kurma. Perut aku jadi berkeroncong. Bau kurma pun boleh sampai ke hidung. Dalam bulan puasa macam ni, semua pasal makanan jadi sensitif. Bau kurma pun jadi sedap.

"Siapa yang akan menghalang awak dari makan. Dan kenapa awak tak makan?"

Gila apo nak makan time puasa dalam bilik CJ7 pula tu. Ke CJ7 ni tak puasa? Apa barang kurma ada dalam laci.

"Itu bermaksud awak ada freewill. Kebebasan memilih. Makan atau tak, dalam diri awak sekarang inilah yang menentukan itu. Sebab saya tahu, awak dan saya memilih untuk makan lepas azan maghrib nanti. Betulkan?"

"Apa beza makan lepas azan maghrib atau makan sekarang ni? Kenapa kita jadi tertahan untuk tidak makan? Itu namanya, Iman."

Perghhhh, macam tu tazkirah CJ7 kalau dia start beri nasihat.

So panjang dah ni, acane? Aku muda lagi ni. Boleh ke aku nak berjoli lagi?

Wednesday, July 31, 2013

Diari Seorang Siapa (?) : #5 - 1

Aku macam nak perlahan sikit suara. Masuk hujung bulan puasa, macam banyak benda buat aku sentap.


Macamana nak cerita?


Mula-mula kau kena bayangkan, aku adalah seorang lelaki dewasa umur 21 tahun. Badan kurus melidi tetapi mempunyai bahu yang bidang. Badan macam ni, sesuai untuk panjat gunung dan masuk gua. Malah, itulah kerja sambilan aku pun. Meneroka gua yang tidak pernah diteroka. Tujuan untuk menandakan koordinat dalam GPS dan log gua-gua yang ada di seluruh Malaysia.


Hebatkan?


Kerja untuk merekodkan khazanah alam yang ada kat bumi kita ni. Tapi aku tak pernah rasa kerja sampingan ni perlu dibesarkan pun (kerja sepenuh masa aku: belajar). Tinggal lagi, akhir-akhir ni aku diberi peluang untuk bertemu dengan seorang guru, perempuan, yang entah? Hairan aku, sebab beliau ini menyimpan begitu banyak ilmu tidak sama macam perempuan-perempuan lain. Aku namakan dia CJ7.


Dia manusia, serius, bukan alien. CJ7 matang bukan kiut macam makhluk dalam filem CJ7 tu.


Dia yang ajar aku, sebenarnya umur manusia ni terbahagi kepada dua. Kanak-kanak dan orang dewasa. Remaja tidak ada tercatat dalam Al Quran, tetapi yang ada kata CJ7 adalah fityan, atau orang muda. Orang muda macam aku kot layak dipanggil fityan.


Aku tanya CJ7, "contoh perkataan fityan ni kat mana dalam Quran?"


CJ7 jawab, "dalam Surah Gua - Surah Al Kahfi, ayat ke 10."


Terkezut aku bila CJ7 sebut gua. Takkan begitu kebetulan dengan minat aku dengan gua.


"Tahu cerita pemuda gua atau Ashabul Kahfi?"


Aku angguk-angguk tidak yakin. Aku tahu cerita tu, tapi aku tak berani nak angguk dengan pasti. Aku rasa aku sudah dewasa, tapi rendah diri masih lagi menebal. Haish, aku kurang pengalaman dan pergaulan sebenarnya.


"Dalam ayat tu sebut orang muda macam awak sebagai fityan. Peringkat umur emas eh bukan, umur berlian, yang boleh cipta sejarah bangsa, negara, malah agama. Macam pemuda-pemuda gua."


Begitu bicara CJ7 kalau aku dapat peluang sembang dengan dia. Ruang pejabat itu kecil, tapi luas dengan bicara ilmu. Aku suka berada dalamnya, bukan sebab semata-mata ada aircond, tetapi sebab CJ7 bukan tipikal perempuan yang suka shopping atau menonton drama TV atau drama Korea. Kau akan berpeluang untuk mengutip mutiara ilmu walau hanya 10 minit jumpa dengan CJ7.


Malah CJ7 selalu cakap aku manusia dengan kemahiran istimewa. Manusia gua, pencari khazanah, dan menyimpan rekod sejarah alam semulajadi negara. Bukan calang-calang orang diberi kelebihan seperti itu, kata CJ7. CJ7 selalu memandang positif sesuatu perkara, walau aku tak rasa benda yang aku buat hebat pun.


Semalam, aku dapat cakap dengan CJ7. Aku bercadang buat sayembara menulis cerpen dan puisi berskala kecil di tempat aku. CJ7 adalah penasihat kelab, jadi aku minta nasihat darinya.


CJ7 tanya, "kenapa awak nak menulis?"


"Bukan saya. Sebenarnya ada orang tanya bila nak mulakan pertandingan, sebab dulu saya ada tersebut dalam meeting." Jawab aku masih takut-takut.


"Awak sendiri tidak mahu menulis?"


Aku diam. Tapi kemudian mengangguk. Aku juga mahu menulis. Tapi aku tidak pasti.


"Awak tahu apa Pram kata pasal orang yang menulis?" CJ7 buka buku catatan kemudian membaca,


“Tahu kau mengapa aku sayangi kau lebih dari siapa pun? Karena kau menulis. Suaramu takkan padam ditelan angin, akan abadi, sampai jauh, jauh di kemudian hari."


Sangka aku CJ7 nak cakap pasal surah Iqra'. Alih-alih dia bawa kata-kata Pramoedya Ananta Toer, seorang penulis tersohor Indonesia. Pernah dicalonkan dalam Anugerah Nobel, tetapi tak pernah menang.


"Kalau awak nak jadi immortal, menulislah."


Meremang tengkuk aku. Tak pernah orang beri pesan kesan menulis sebegitu besar.


CJ7 angkat buku di hadapannya. Tajuk buku tu, 'Kami Ada Mimpi'. Kisah-kisah benar dan adaptasi cerita sukarelawan aktivis pendidikan.


"Kawan-kawan awak ada menulis dalam ini. Mereka baru berumur dalam lingkungan 19 - 28 tahun, muda lagi. Saya nasihat kepada mereka, tulis sejarah sendiri. Jangan biar orang lain menulis untuk kita, selagi kita mampu menulis."


Aku diam. Selalu depan CJ7 aku hilang kata-kata. Kalau boleh aku nak jadi span (sponge) menyerap semuanya. Setiap satu pun bermakna. Setiap satu pun ilmu. Setiap satu pun beri aku nyala dalam dada. Aku orang muda yang perlu membuat perubahan. Mula dari diri aku sendiri, kemudian kepada orang lain sekitar aku.


CJ7 tiba-tiba senyap. Kemudian mengambil nafas. Matanya tadi bercahaya, bertukar jadi sayu.


"Hujung minggu baru ni, saya jumpa kawan-kawan lain di luar. Banyak yang mereka kongsikan. Kisah masyarakat yang sudah lama kita tak ambil peduli. Banyak cerita sebenarnya. Tetapi yang paling menusuk dalam dada saya, bila kawan saya cerita, ada anak yatim bercerita tentang keluarga. Seorang anak ini kemudian beri komen mengenai ibu dia. Awak tahu apa yang adik tu cakap?"


CJ7 mahu mengaktifkan indera aku. Untuk fokus kepada ayat seterusnya.


"Walaupun mak saya buta, tapi, ayam masak merah mak saya paling sedap dalam dunia."


Mata CJ7 bergenang. CJ7 melarikan pandang ke tempat lain. Mungkin dia malu untuk tunjukkan ekspresi sebenar depan aku.


Aku sendiri terkedu. Kepala aku fikir macam-macam. Dengan ayat macam tu, apa sebenarnya kehidupan yang adik tu lalui. Aku tak tahu, aku pasti CJ7 pun tak tahu.


CJ7 memandang pen aku yang terletak di atas buku catatan yang terbuka. Banyak muka surat yang kosong tidak bertulis. Aku memang agak malas menulis. Tapi CJ7 tidak. Kata-kata aku yang dirasakan penting pun dicatatnya. Bicara orang muda seperti aku, tetap ada nilai di hujung pena CJ7.


CJ7 membuka mulut, "tulislah untuk orang-orang yang tidak boleh menulis seperti adik yang emaknya buta. Tulis bagi pihak mereka. Jadi suara mereka dengan pen awak tu. Itu baru namanya kita berjuang menggunakan pen dan dakwat. Bawa suara mereka ke jabatan kebajikan dan institusi zakat. Supaya mereka dibela sebagai seorang manusia yang punya harga diri."


Ada sesuatu masuk dalam diri aku. Serentak dengan itu, bulu roma aku tegak berdiri.


Menulis juga boleh jadi suara. Di zaman moden penuh cerita Korea dan drama TV lakonan Aaron Aziz, Adi Putra, Tiz Zaqyah, aku menerima bicara di alam realiti yang seperti dalam TV.


Bicara CJ7 seolah-olah skrip drama, tetapi yang membezakan, ia depan mata aku. Telinga aku cukup sihat untuk mendengar dalam keadaan sedar. Realiti masyarakat yang CJ7 hadapi setiap hari kerana CJ7 memutuskan untuk berada di atas padang untuk sendiri menyaksi depan mata.


"Saya bukan menjaja cerita nak jentik simpati awak atau sesiapa saja. Saya cuma mahu mengingatkan tentang tanggungjawab saya, dan tanggungjawab semua orang yang mengaku muslim."


Aku minta CJ7 terangkan lebih lagi kerana aku tidak faham.


CJ7 membetulkan duduk. Mengalih pandang ke skrin komputer di sisi kiri. CJ7 menggerakkan tetikus dan mencari ikon shutdown di tetingkap. Aku kira bulan Ramadhan lebih membuatkan CJ7 lebih kritis, lebih banyak turun padang, lebih banyak menimba ilmu, dan lebih banyak buat benda berbanding bulan biasa. Puasa tidak melemahkan CJ7, malah memberikan dia lebih kuasa.


"Baca surah Al Maaun. Di situ ada peringatan tentang orang yang mendustakan agama. Dan kita takkan nak masuk dalam golongan ni. Kalau kita nak keluar dari celaan, kita mesti menyantuni anak yatim dan miskin. Sebab itu saya kata, kerja-kerja ini tanggungjawab, bukan optional."


Kata-kata CJ7 buat aku terus berfikir. Aku masih belum dapat berbincang secara rinci mengenai rancangan sayembara. Tapi aku sudah temui setiap sebab kenapa aku juga perlu menulis.


Antara sebab pertama mahu menjadi abadi, atau kedua sebagai tanggungjawab sosial. Aku pilih aku nak menulis atas dasar tanggungjawab. Kalau ini kelebihan yang aku ada, aku patut salurkan ke tempat lebih baik. Lebih bermanfaat pada orang lain. Tapi aku bukan pandai sangat.


"Saya tidak pandai sangat menulis ni," aku tidak malu berceritakan kekurangan diri.


"Bila awak akan pandai menulis? Esok, minggu depan, bulan depan, tahun depan, atau 10 tahun lagi?" CJ7 bertanya serius. Bila dia memprovokasi, aku jadi gerun.


"Jawab tanya saya." CJ7 mengeraskan lagi tona suaranya.


"Perlukan saya jawab secara spesifik?" Aku tanya polos.


"Perlu, sebab saya nak dengar komitmen dari awak. Kalau awak kata 2 tahun dari sekarang awak akan pandai menulis, saya akan cari awak balik selepas 2 tahun dan menuntut apa yang awak janjikan."


Psiko betul CJ7 ni kadang-kadang.

"Tapi tahu apa yang awak akan tertinggal? 2 tahun awak akan rugi untuk menabur bakti sebagai seorang pejuang yang menulis. 2 tahun!"