Wednesday, August 14, 2013

Diari Seorang Siapa (?): #5 - 3

Aku check catatan aku ni, ada seorang dua dah komen. Salah seorangnya Harith. Hi Harith. Selamat kenal, nanti aku balas komen kau eh, ada benda dalam kepala aku selepas raya ni yang buat aku nak tulis. Belum sempat, hari ni baru sempat (Perdana Menteri ke sibuk sangat?)


Masa raya baru ni CJ7 bagi aku mesej dalam telefon, “jangan lupa tengok filem Di Bawah Lindungan Kaabah”. CJ7 siap bagi detail, ditayangkan di Astro Oasis, dan bila filem itu ditayangkan.


Memandangkan aku bukan kaki jalan sangat, aku cuba untuk menonton. Tetapi selalu tak sempat nak tengok semua sebab kena layan tetamu dan anak-anak buah. Aku sebenarnya tak faham tujuan CJ7. Sebab bila aku tengok cerita tu pun, rasa macam tak masuk. Aku cuba nak hayati, tetapi rasa macam tak ngam je dengan kehidupan realiti anak muda macam aku.


Sedikit yang boleh aku faham pasal cerita ni ialah, kisahnya berlaku zaman tahun 1920-an di sebuah perkampungan yang memegang kuat kepada adat istiadat Minangkabau. Kisah cinta sebenarnya antara Hamid dan Zainab, yang bagi aku terlalu ideal dan melankolik. Sampai aku bertanya, boleh ada ke kisah cinta sedalam itu?


Melankolik macam tak ada beza juga dengan filem-filem Melayu tempatan sekarang yang begitu murah air matanya macam Ombak Rindu, Budak Setan dan seangkatan. Tapi ada rasa lain dalam cerita DLK ini, kisah cintanya bermaruah dan tinggi nilainya.


Cuma, semakin aku tengok, tapi memang aku tak dapat apa yang CJ7 nak aku dapat (aku rasalah).


Tapi takkanlah CJ7 sempat nak bagi sms masa raya-raya macam ni kan, kalau cerita tu tak penting. Ataupun CJ7 cuma nak tunjukkan aku pilihan lain yang ada selain dari cerita-cerita raya yang berkualiti rendah (cerita hantu dan cerita-cerita cinta penuh konflik domestik).


Aku pun pergi google untuk dapatkan sedikit latar belakang dari cerita ni. Dalam merayau-rayau, aku baca blog CJ7. Rupanya dia dah buat reviu filem ni. Aku letak kat sinilah, supaya kau pun boleh baca.


Aku kena warning, bapok panjang entri CJ7 ni. Kena bersabar baca, tidak perlu baca sekaligus, pelan-pelan kayuh pun tak apa.


Di Bawah Lindungan Kaabah (DLK), sebuah karya dari sasterawan besar Indonesia, Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenali dengan nama Pak HAMKA. Saya masih ingat namanya yang saya hafal bersungguh-sungguh untuk menjawab soalan peperiksaan kertas agama. Pada waktu itu saya tidak pernah tahu, beliau adalah seorang ulama yang menulis karya roman dan sastera. Pak HAMKA yang dikenali adalah seorang ulama yang menulis tafsir Al Quran dalam bahasa Melayu.

Saya tonton DLK yang telah diangkat menjadi karya filem disiarkan di Astro OASIS waktu raya ini. Menonton dua kali waktu raya ini, pernah sekali lama dulu (mungkin tahun lepas). Menonton tiga kali, tetapi tidak pernah dapat menonton dengan lengkap. Reviu filem yang boleh dibaca di banyak tempat, saya mencadangkan membaca di sini http://seindahduniakita.blogspot.com/2011/12/review-cinta-dan-restu-ibu-bapa-di_23.html.

Tidak syak lagi ini adalah kisah cinta. Untuk saya, cinta yang bermartabat tinggi, terasa masuk menusuk dalam jiwa. Semua penderitaan yang ditanggung oleh Hamid dan Zainab yang menghadapi badai taufannya dengan tabah.

Perlu diingat, reviu ini semata dibuat berdasarkan filem yang saya tonton hanya ¾ dari keseluruhan filem. Meski saya pernah membaca versi novelnya, tetapi sungguh saya sudah lupa. Saya akan sorot dari dua sudut 1) keunggulan wanita 2) kaedah hukum agama dan masyarakat.

Jika ramai memusatkan sentralnya kepada kisah Zainab dan Hamid, saya melihat karya filem ini lebih besar dari itu. Cerita ini bukan hanya bermaksud untuk menghantarkan kita merasai latar kehidupan tahun 1920-an, tetapi merentasi zaman dan masa. Kisah yang dihantarkan sejagat dan universal, sangat bertepatan dengan situasi zaman kita pada masa ini. Bila mana media, media sosial memainkan sentimen sensitif tanpa membuat pertimbangan yang wajar, apabila kita terkesan dengan usikan mainan bangsa, malah agama. Lebih buruk dari itu kita yang kurang ilmu juga mahu terlibat dalam memberi hukum dan menghukum.

Sebelum itu, di mata saya DLK sentralnya berpusat kepada wanita. Ada nuansa feminisme di situ, kelihatan Pak HAMKA ternyata melawan arus. Tahun 1920-an di mana golongan wanita tidak begitu dipedulikan, dilihat sebagai warga kelas kedua (mungkin tidak berkelas), pendapat dan keinginan wanita jarang-jarang sekali diperhatikan dan diambil berat, peranan wanita dalam masyarakat yang tidak diperkatakan kerana dilihat sebagai pengurus rumahtangga. Tetapi dalam filem ini, semua kontra semua itu dimasukkan dalam mise-en-sense sehingga saya merasakan wanita itu sangat tinggi kedudukannya.

Saya sebutkan citra wanita unggul melalui watak-watak berikut:

1. Ibu Hamid

Bagaimana Ibu Hamid menghadapi situasi provokasi dari masyarakat yang mahukan Hamid dihadapkan ke pengadilan untuk kesalahan yang tidak dilakukan. Hamid dituduh menceroboh (menyentuh) Zainab secara tidak patut. Perlu saya terangkan di sini, Hamid sebenarnya menyelamatkan Zainab dari mati lemas. Pada waktu itu Zainab sudah terbenam masuk ke dalam sungai dengan diperhatikan oleh ramai lelaki-lelaki masyarakat desa yang hanya berdiri terpaku tidak buat apa-apa, termasuk bakal calon suami Zainab iaitu Ariffin. Hamid yang turut berada di situ tanpa teragak terjun dan menyelam mencari Zainab yang lemas. Meski Zainab dapat dibawa ke tebing, Zainab masih tidak bernafas. Hamid telah melakukan kaedah menyelamat CPR dari mulut ke mulut yang mana situasi inilah yang mengheret Hamid ke mahkamah pengadilan masyarakat yang dihakimi oleh para tetua (orang-orang tua).

Ketika orang-orang kampung membawa obor dan menjerit-jerit ke arah Hamid di hadapan surau, ibu Hamid tetap menegakkan kepalanya penuh berani. Ibu Hamid menatang setiap wajah yang menghukum Hamid lebih dahulu daripada dibicarakan. Ibu Hamid malah meniupkan kata-kata semangat yang menyuruhnya mara untuk berhadapan dalam perbicaraan. Kerana ibunya percaya Hamid tidak bersalah, kerana seorang ibu mengenali anaknya yang diasuh dengan adat budaya dan agama.

Kebijakkan Ibu Hamid juga terlihat dengan kesungguhan beliau menambung dengan membeli emas berdikit-dikit. Walau hanya menjadi pembantu kepada keluarga Engku Jaafar, duit yang diperolehi disimpan dalam bentuk emas yang akhirnya membolehkan Hamid pergi Haji dengan emas yang ditinggalkan oleh arwah ibu.

2. Zainab

Zainab seorang wanita terpelajar yang menyedari wujud dirinya. Dalam aspek kesedaran individual ini saya terjemahkan dengan keinginan Zainab untuk mengahwini lelaki yang Zainab cintai dan mencintainya. Lain-lain dari itu Zainab adalah perempuan yang sedar tanggungjawab, melaksanakan tugas yang diberikan oleh ayahnya, Engku Jaafar, mempelajari selok belok perniagaan, terlibat langsung dalam menjayakan perniagaan keluarga, sangat taat keluarga. Zainab juga dilihat sebagai wanita penentang dalam diam, dengan mempertaruhkan derita dirinya demi untuk dilihat melawan atau tidak hormat kepada kedua orang tua, terutamanya ibunya sendiri. Zainab mempercayakan dirinya kepada takdir, tetapi tidak menyerahkan hidupnya kepada keputusan manusia. Perkara ini saya simpulkan ketika Hamid diminta untuk memberi nasihat kepada Zainab supaya setuju kepada jodoh pilihan keluarga. Jawab Zainab dengan sepenuh yakin di hadapan wajah Hamid,

“Allahlah yang menentukan hidup kita.”

Ketegasan suara Zainab memberikan mesej bukan penyerahan, tetapi mesej subtle supaya mereka berdua (Hamid dan Zainab) sungguh-sungguh berusaha untuk mencapai cita-cita yang ada dalam kehendak diri dan jiwa.

3. Ibu Zainab

Ternyata Ibu Zainab adalah seorang wanita bangsawan yang tinggi nilai, penjaga adab dan budaya, tegas di mana perlu bertegas. Walau ada di beberapa tempat yang dilihat ibu Zainab seolah tidak berjujur dalam perkataan tetapi niatnya baik. Untuk memberikan yang terbaik untuk Zainab. Yang bangsawan perlu diduduk dan sama berdirikan dengan bangsawan, bukan orang biasa-biasa seperti Hamid yang diasuh oleh Engku Jaafar. Darah Hamid adalah darah orang biasa, masakah pipit dapat terbang dengan enggang.

Begitupun jika kita merasakan tindakan Ibu Zainab seperti tidak patut, tetapi itulah juga yang ramai ibu-ibu di luar sana akan lakukan. Untuk melangsungkan kebaikkan untuk anak-anak. Kasih Ibu Zainab yang begitu melimpah, dilihat dengan gesture yang tidak lokek, seperti memeluk anaknya yang begitu parah menahan derita jiwa.

Tetapi bukan itu sahaja nuansa feminisme yang ada. Juga terdapat dalam ayat Hamid ketika berdebat dan berbalas hujah dalam satu pertandingan. Kata Hamid,

Inilah harkat perempuan mulia dan bermartabat,
dengan lima sifat utama.
benar, jujur, pandai, fasih terdidik, dan bersifat malu.
kepada merekalah kasih sayang kita,
kasih kita seharusnya berada.

Selain dari pengangkatan martabat wanita begitu rupa, saya terkesan dengan skena ketika Hamid dihadapkan di muka pengadilan. Orang-orang tua yang terhormat sebagai ahli dalam sidang, juga pada masa yang sama Engku Jaafar juga dipanggil dalam majlis. Lebih adil daripada itu, Hamid juga dipanggil ketika pertuduhan disebut di hadapannya.


Ketika mereka semua menyalahkan Hamid atas perbuatannya yang menyalahi adat dan agama, tetua masih bertanyakan Engku Jaafar, sebagai seorang bapa apakah perasaannya?
Engku Jaafar menjawab, “sebagai seorang bapa saya berdoa kepada Allah, Ya Allah, selamatkanlah Zainab. Dan doa saya dimakbulkan melalui Hamid.”

Begitu rasional Engku Jaafar mengatasi sentimen adat. Begitu saya melihat orang berilmu, beragama, terpelajar, berpengalaman dan rasional akan bertindak seperti Engku Jaafar. Dalam waktu-waktu mendesak yang haram juga boleh dihukumkan halal jika mudarat dan darurat. Keadaan Hamid pada waktu itu ialah berhadapan dengan seorang manusia yang sudah lemas dan tidak bernafas. Yang sudah dipastikan nadi yang tidak memberi respon. Bantuan terakhir ialah melakukan CPR. Hakikatnya, pada waktu itu ramai lelaki yang menyaksi Zainab yang terlantar, tetapi mereka hanya berdiri dan melihat. Termasuk bapa Zainab sendiri, Engku Jaafar, orang-orang tua masyarakat desa dan orang-orang ramai lainnya.

Mari kembali kepada skena penghakiman orang-orang tua kepada Hamid. Setelah Engku Jaafar menjawab demikian, para tetua pun menjadi keliru dan buntu. Tetapi keputusan mesti dibuat, kerana masyarakat menuntut penghukuman.

Sebelum hukuman diputuskan, Hamid menunggu dengan sabar. Sehingga tetua tidak lagi berucap, Hamid dengan takzim meminta izin untuk bercakap. Hamid yang begitu tunduk dan hormatnya pada orang tua berbicara (tidak mengikut ayat filem sebenar), “saya dibesarkan oleh ayah dan ibu dengan ilmu agama. Juga saya belajar dari surau ini dan juga dari tetua. Apa pun keputusan, saya menerima dengan terbuka.”

Hukuman pun dibacakan seperti berikut, “kami tidak dapat memutuskan samada perbuatan ini salah atau tidak salah, tetapi demi menjaga kemaslahatan umum, Hamid dihukum keluar dari kampung.”

Analisa saya seperti berikut:

1. Perbicaraan menemui jalan buntu kerana kes seperti itu tidak pernah berlaku sebelum ini di kampung mereka. Meski perbuatan Hamid dilihat sebagai amat mencolok, tetapi ia telah menyelamatkan nyawa manusia di saat orang lain hanya terpaku berdiri tidak mampu berbuat apa-apa.

2. Tetua tidak dapat berbuat keputusan berdasarkan kaedah qias kerana tidak ada rujukan kes sebelum kejadian Hamid dan Zainab. Saya juga berpendapat, bahawa mereka juga tidak mempunyai ilmu tentangnya.

3. Keputusan dibuat berdasarkan jumhur (keputusan sepakat) para tetua dengan mengambil kira kemaslahatan umum. Untuk menjaga keharmonian kampung, bila masyarakat majoriti merasa marah terhadap perbuatan Hamid.

Satu bentuk ketidakadilan yang dijatuhkan kepada Hamid ialah, bila keputusan diumumkan kepada masyarakat bahawa Hamid perlu keluar dari kampung, yang memberi hukum tidak memberi tahu yang Hamid sebenarnya tidak dapat diputuskan sebagai bersalah. Hamid perlu keluar kerana untuk menjaga kestabilan terhadap sentimen masyarakat yang sudah pun lebih awal menghukum. Yang diumumkan hanya keputusan kehakiman, tetapi tidak diumumkan bahawa Hamid boleh jadi tidak bersalah dalam kes ini.

Saya merasa sepi dan terbuang Hamid. Tetapi kata-kata Ibu Hamid lebih besar di bawa bekal berjalan dan berkelana dalam terbuang, “di saat kita rasa berseorang, kita tidak pernah seorang, kerana Allah selalu bersama.”

Sepi dan terbuang Hamid rupanya bukan apa-apa pada dirinya, bila Hamid berbicara dengan Zainab di balik dinding, “untuk melewati badai kita harus terus berjalan bukan terus berhenti. Dan untuk terus berjalan, hanya dua hal yang harus kita bawa; keyakinan dan cinta.”

Pemerhatian dan pendapat saya mengenai hal ini:

1. Dalam kes ini ini, keputusan yang diambil oleh para tetua begitu teliti dan tepat, walau mungkin tidak paling tepat. Tepat kerana ia berjaya menstabilkan masyarakat. Tidak begitu tepat kerana penghukuman itu tidak memberi keadilan kepada Hamid.

2. Betapa pemelukan kita kepada kelas sosial amat merugikan. Pembezaan kelas sosial ini tidak berlaku di zaman Pak Hamka sahaja, tetapi berlangsung terus dari zaman dulu sehingga sekarang. Seperti analisa yang lebih terperinci pernah dibuat oleh tokoh sosiolog Ali Shariati. Samada kita sedar atau tidak, itulah yang berlaku. Kerana itu orang-orang biasa yang mahu meninggikan kedudukan kelasnya berbuat di luar kemampuan. Seperti perlu memilik kereta mewah dan pakaian berjenama, kerana hanya itu di pandang masyarakat.

3. Apa kurangnya Hamid? Pelajaran yang diterimanya telah melayakkan Hamid menjadi sekufu kepada Zainab, tetapi culture die hard. Hamid tidak punya gelar Engku di hadapan namanya.

Saya termenung panjang memahami filem ini. Sudah tentu lebih adil jika saya kembali menguliti novel Pak Hamka, tetapi novel yang ini tidak ada dalam simpanan saya. Mesej Pak Hamka begitu relevan pada saat sentimen bangsa dan pertembungan budaya berlainan bangsa berlaku hari ini di negara kita. Juga sentimen agama yang dimainkan dengan cara tidak berhikmah, akan menyebabkan berlaku ketegangan yang tidak perlu.

Kata rakan saya, hukum itu boleh berubah. Seperti kahwin, ada waktu ia jadi wajib, sunnat dan ada waktu-waktunya menjadi haram. Walaupun esensi perkahwinan itu sangat baik iaitu untuk melestari manusia generasi demi generasi.

Sama juga hukum makan babi. Hukum asalnya haram sepanjang waktu dan tidak kira tempat, tetapi jika berlaku mudhorat dan darurat, hukum haram makan daging babi menjadi harus, jika hanya itu yang tinggal untuk kelangsungan sebuah kehidupan.

Saya terkenangkan Nabi. Andai baginda ada, baginda akan menyelesaikan masalah ummat dalam waktu segera. Tetapi orang-orang tua dan agama kita tidak begitu menghayati sunnah yang dibawa Nabi. Mungkin kerana itu di zaman Nabi perkahwinan antara Zainab (bangsawan) dan Zaid (bekas budak) dilangsungkan. Bahawa dalam Islam kasta itu tidak pernah ada. Kelas sosial itu hanya wujud dalam minda kita, tetapi tidak wujud dalam bentuk secara fizikal dan zahir.

Kerana itu di zaman Nabi, baginda tetap melantik Bilal seorang yang punya kelas sosial paling rendah dan hina, menjadi penolong baginda. Menjadi suara yang memanggil ummat untuk menunaikan solat. Bilal yang hitam dan bekas hamba. Bilal, seorang Bilal juga mendapat tempat di hati Nabi.

Dan siapa kita untuk membezakan manusia?

Filem ini mendapat tempat istimewa dalam hati saya kerana ia menampilkan citra yang menampilkan wanita itu juga perlu dinilai mempunyai identiti dan individualiti. Masyarakat tidak boleh melihat wanita sebagai alat, soulless dan tidak perlu dihormati. Wanita itu juga punya tempat.

Sepertimana Allah memberi tempat kepada Siti Hajar di sisi Kaabahnya yang mulia, iaitu di Hajar Ismail (juga disebut orang sebagai Hijir Ismail). Seperti mana Allah memberi tempat pada Siti Hajar dengan sunnahnya yang diulang 7 kali iaitu dari Safa ke Marwah. Dan setiap kali niat Umrah dan Haji dimulakan. Begitu Allah memberi tempat kepada Siti Hajar, bilamana pemilik air zam-zam itu adalah Siti Hajar. Bila kaum-kaum yang bermusafir (suku Jurhum) meminta izin kepada Siti Hajar untuk mendapatkan air dari telaga zam-zam. Jika Siti Hajar bukan pemiliknya, kenapa mereka perlu meminta izin? Dan kita inilah yang menagih air zam-zam setiap kali tiba di Mekah dan Madinah namun sikit sekali kita mengenangkan Bonda (Siti Hajar) yang seorang ini.

Saya menjadi terus termenung panjang, bila pagi tadi melihat rakaman seorang lelaki (suami) memukul (belasah) isteri di dalam lif, di hadapan dua anaknya yang masih kecil dengan perlakuan seorang (seekor) binatang! Dan jika Nabi ada, akan saya adukan kepada baginda, beginilah kaum yang lemah fizikalnya diperlakukan! Tidak ada beza seperti zaman sebelum ketibaan baginda, zaman masyarakat yang jahil pemahaman agama monotheism yang dibawa Nabi Ibrahim dan penerus kenabian sehinggalah Rasulullah sawa.

Pada mereka yang faham, jika wanita itu benar dididik, diiktiraf wujud, individu dan karakter, serta pengiktirafan kemampuan intelektual yang mampu setara dengan lelaki, masyarakat lebih terjaga dan ditarbiah.

Pada mereka yang faham, wanita (sebagai Bonda dan Isteri) adalah tempat permulaan polisi kemasyarakatan, akhlak, sahsiah, pelestari budaya dan agama, serta boleh jadi juga tempat bermulanya model ekonomi yang mapan.

Di Bawah Lindungan Kaabah, mengikut kritik yang lain tidak begitu vokal nuansa feminismenya berbanding Perempuan Berkalung Sorban. Sayang sekali saya belum berkesempatan menonton.

Saya membayangkan, sutradara Malaysia dapat membikin filem seperti DLK yang begitu berakar dan sentral mesej agama, bukan hanya sekadar tempelen. Menyentuh soal sosial yang lebih membawa kita kepada faham agama, bukan terhad kepada hubungan vertikal kepada Tuhan. Kerana jalan agama itu mempunyai dua dimensi, vertikal dan horizontal, tertinggal salah satunya, kita tidak lengkap sebagai hamba, dan hari ini saya percaya, kita tidak akan lengkap sebagai manusia!

Saya membayangkan jika Hamid dan Zainab dapat disatukan, bagaimana generasi yang lahir daripada mereka? Adakah mereka dapat menipiskan garis pemisah kelas sosial dan kasta?

Kudos kepada pembikin filem, begitu pun penceritaan cintanya begitu melankolik, ia dilihat sangat-sangat bermaruah dan tinggi tingkatannya berbanding mana-mana cerita cinta filem dan drama Melayu (sorry to say).


Saya merasa derita Zainab dan Hamid disegenap urat, pembuluh darah sehingga menikam ngilu sukma dalam dada.


Saya merasa ngilu Hamid mengadu dan berdoa, memegang dinding Kaabah di Multazam kerana besarnya pengharapan, permohonan ampun dan pengertian seorang hamba kepada TuhanNya.



Aku rasa macam nak pitam baca. Maksudnya aku kena tunggu next tayangan filem ini untuk buat aku faham apa yang CJ7 tulis ni. Tak kira, kena tengok juga! Tapi ermmm, aku tidak pernah terfikir pun begitu dekat kedudukan wanita di sisi Allah.

No comments: